Pelakon veteran, Abu Bakar Juah, 72, yang meninggal dunia pada petang Sabtu.

Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhir kira-kita pukul 6.35 petang di kediamannya.

Khabar duka itu dikongsi pelakon Den Wahab menerusi aplikasi Whatsapp sebentar tadi, selepas dimaklumkan anak Allahyarham.

“Assalammualaikum untuk makluman sahabat kita Hj Abu Bakar Juah telah pergi meninggalkan kita pada jam 6.35 petang di rumah.

“Ini dimaklumkan pada saya oleh anak arwah sebentar tadi. Keluarga arwah sedang berbincang untuk pengurusan jenazah,” katanya.

Beberapa hari lalu Berita Harian Online melaporkan Allahyarham berada dalam keadaan tenat akibat kanser hati.

Abu Bakar disahkan menghidap kanser usus pada 2016.

Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan pelakon veteran itu bebas daripada cengkaman kanser.

Selepas disahkan bebas kanser, bapa kepada empat cahaya mata itu mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit yang dihadapi kembali menyerang, malah lebih agresif hingga sudah merebak ke hati.

Anak Allahyarham turut memaklumkan selain kanser, bapa turut menghidap kencing manis.