Seorang pelawak terkenal Indonesia, Daus Mini bakal bergelar duda buat kali ketiga apabila isteri menerusi perkahwinan terbaharunya ini juga meminta untuk diceraikan.



Pelawak dengan ketinggian 107cm ini berkahwin dengan Shelvie Hana Wijaya pada tahun 2019. Namun Shelvie kini seperti mengikut jejak langkah dua bekas isterinya iaitu Yunita Lestari dan Rahandini Destia Astrinatri untuk meminta cerai.

Kata Daus, dia tidak akan memaksa Shelvie untuk bertahan menjadi isterinya selepas mereka sudah menjalani dua kali sesi mediadi.

“Kalau ini sudah jalannya Allah kenapa tidak. Kita juga tidak bisa memaksa. Jodoh, rezeki, maut di tangan Allah,” kata Daus Mini seperti dilaporkan Kompas.com.

Lelaki berusia 35 tahun ini juga mengatakan Shelvie sudah nekad bercerai dengannya.

“Yang penting kita sudah ikhtiar. Yang lebih sakit kan kalau hati ibu dan bapa tersakiti.

“Lagipun sudah tidak ada apa yang mahu dikecohkan. Dia ingin pisah, kita sudah dua kali mediasi. Dia tetap ingin bercerai. Apapun alasan yang dia ada, saya tidak boleh menghalangnya,” katanya lagi.

Namun kata Daus, dia berasa kurang selesa kerana perempuan tersebut terus mengaibkan namanya kepada media.

Apa lagi Shelvie juga didakwa seperti ingin merebut hak penjagaan anak angkat mereka, Al Fatih Firdaus.

Menerusi tuntutan cerai yang dibuat, Shelvie yang sudah empat tahun berumah tangga dengan Daus Mini mendakwa suaminya berlaku curang dan tidak hormat kepada orang tuanya.