Pemain piano terkenal, Maksim Mrvica bakal mengadakan persembahan solo di ibu kota buat satu malam sahaja sempena jelajah The Collection di Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 14 Februari, jam 8 malam di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pemain piano luar biasa yang pernah merangkul anugerah di Anugerah Muzik MTV serta pelbagai pertandingan muzik antarabangsa berprestij ini akan mempersembahkan pelbagai lagu hit terhebat sepanjang zaman daripada Coldplay, John Legend dan Queen, selain muzik daripada filem seperti The Godfather, Pirates of the Caribbean dan Game of Thrones, karya agung klasikal oleh Liszt dan Chopin, serta karya daripada sepuluh albumnya termasuk Flight of the Bumblebee, Exodus dan banyak lagi.

Dilahirkan di Croatia, Maksim merupakan antara pemain piano ‘classical crossover’ terkenal di dunia.

Selepas memperoleh tempat pertama di Pertandingan Piano Rubinstein di Perancis, beliau mendapat pendidikan di The Franz Liszt Academy of Music, Budapest dan Alexander Scriabin Conservatoire, Paris.

Kontrak pertama beliau bersama label rakaman EMI menyaksikan rilisan album ‘Piano Player’ yang mencatat jualan lebih 4 juta keping. Selain itu, beliau turut menerima Platinum Ganda di Hong Kong serta status emas di Singapura dan negara-negara lain.

Beliau pernah menjelajah lebih 20 bandar di Jepun yang menjadi siri jelajah terbesar oleh seorang artis antarabangsa. Susulan kejayaan jelajah itu, Maksim dijemput Moscow Philharmonic Orchestra untuk persembahan solo dan Chopin Society di Warsaw sempena ulang tahun kelahiran ke-200 Chopin, serta mendapat jemputan khas ke Royal Philharmonic Orchestra di London.

Kejayaan Maksim yang tidak terbatas dalam dunia muzik klasik menyebabkan beliau dikenali khalayak ramai. Pencapaiannya terserlah menerusi karyanya yang terangkum dalam album rasmi Sukan Olimpik, menerima anugerah MTV bagi Album Crossover Sulung Terbaik, serta mencecah lebih 150 juta tontonan di YouTube.

Gaya muzik Maksim merentas sempadan genre muzik daripada klasikal ke muzik filem, pop dan elektronik. Pada tahun-tahun yang lalu, beliau telah mengadakan persembahan di pelbagai tempat dan acara terkenal termasuk Panggung Opera Sydney.

Kepelbagaian artistik Maksim melangkau dunia muzik ke dunia fesyen seperti yang dilihat dalam kerjasama bersama jenama terkenal seperti Dolce & Gabbana, Armani dan Christian Dior, malah majalah Vogue Homme menamakan beliau sebagai Lelaki Berpakaian Terbaik.

Dapatkan tiket anda sekarang di https://tsasia.sales.ticketsearch.com/sales/salesevent/92014 atau hubungi +60175320128 melalui WhatsApp. Untuk maklumat lanjut, ikuti @HarmonieInternational di Facebook.