Sekilas
- Isma Sane berkata artis masa kini lebih mudah kerana syarikat rakaman bantu sediakan kandungan media sosial berbanding dulu.
- Dia menegur segelintir artis yang tidak menghargai kemudahan tersebut dan sering merungut walaupun diberi peluang.
- Isma mengingatkan penyanyi baru supaya hargai usaha dan peluang yang diberikan serta jangan sia-siakan peluang dalam industri seni.
Penyanyi, Isma Sane berpandangan artis masa kini lebih mudah kerana pihak syarikat rakaman membantu menyediakan kandungan (content) untuk media sosial berbanding artis dahulu yang perlu menguruskannya sendiri.
Bagaimanapun, dia merasakan masih ada segelintir artis yang tidak menghargai kemudahan tersebut dan terlalu banyak merungut.
“Dulu konten, artis kena fikir sendiri. Label cuma tanya posting apa hari ini dan hari-hari kena ada posting.
“Sekarang ada yang kena suap pun banyak songeh kata label itu ini,” tulisnya.
Susulan itu, Isma meminta penyanyi baharu supaya menghargai usaha pihak yang telah memberi peluang dan membantu mengembangkan kerjaya mereka.
Dia turut mengingatkan agar peluang yang diberikan tidak disia-siakan kerana masih ramai yang mengimpikan tempat mereka dalam industri seni itu.
“Orang dah bagi peluang dan jalan, buatlah betul-betul. Hargai masa dan pengorbanan orang. Ramai orang nak duduk kat tempat kau tapi kau sia-siakan macam itu sahaja,” ujarnya.