Pemandu Trak FRU Menangis, Luah Rasa Bersalah Kehilangan 9 Rakan Seangkatan
Pemandu trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan tragik yang meragut sembilan nyawa rakan setugasnya pada Selasa lalu meluahkan rasa bersalah dan terlalu sedih atas apa yang berlaku.
Berkongsi luahan itu, Nor Ain Ahmad Hesam, 36, berkata suaminya, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, hanya mengetahui sepenuhnya mengenai kejadian tersebut selepas sedar daripada rawatan dan dimaklumkan tentang kematian rakan-rakannya pada Khamis.
“Dia baru tahu sembilan kawan dia meninggal semalam. Dia menangis dan beritahu saya yang dia rasa sangat bersalah dan menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Dia minta maaf kepada rakan-rakannya.
Mengulas keadaan suaminya, Nor Ain berkata Mohd Harrisul yang kini dirawat di Hospital Teluk Intan semakin pulih selepas mengalami kecederaan di kepala serta beberapa tulang rusuk patah.
“Alhamdulillah, dia sudah sedar sepenuhnya dan boleh berjalan ke tandas sendiri.
“Tetapi apabila ditanya tentang kejadian itu, dia langsung tidak ingat apa-apa kerana sedar-sedar sahaja, dia sudah berada di hospital,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena perayaan Chitrapournami bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).
Sumber: Sinar Harian