Pelakon suara asal siri animasi popular Jepun Doraemon, Tomita Kosei meninggal dunia.

Berita mengenai pemergian Kosei yang berusia 84 tahun itu disahkan oleh agensi pengurusannya menerusi laman web rasmi mereka.

Mendiang dilaporkan meninggal dunia akibat strok dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 27 September lalu.

“Tomita Kosei (usia kematian 84 tahun) telah meninggal dunia pada 27 September 2020 akibat strok. Kami berharap anda dapat mendoakan yan baik-baik,” lapor web berkenaan pada Sabtu (3 Oktober 2020).

Terdahulu, Kosei telah memulakan kariernya sebagai pelakon suara pada tahun 1963 dan telah menyuarakan lebih daripada 50 siri dan filem anime.

Mendiang merupakan suara asal siri Doraemon yang mula disiarkan di televisyen pada tahun 1973 sebelum digantikan oleh pelakon wanita Masako Nozawa.

Pertukaran suara pada pertengahan musim siaran itu mencetuskan kemarahan peminat.

Suara Kosei juga dipinjamkan pada beberapa siri animasi berprofil tinggi seperti Detective Conan dan Astro Boy.

Suaranya turut digunakan dalam filem Hollywood iaitu Kung Fu Panda dan While You Were Sleeping khusus untuk tontonan masyarakat Jepun.

Pada tahun 2009, Kosei menerima Anugerah Merit di Majlis Anugerah Tahunan Seiyu Ke-3 iaitu upacara yang memberi pengiktirafan kepada bakat lakonan suara di Jepun.

Kosei juga merupakan seorang graduan dari Fakulti Undang-Undang di Universiti Chuo dan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik selain mula terlibat dalam dunia lakonan suara sejak 1963.

Sumber: Tokyohive / channelnewsasia.com