Laman Utama

Peminat Mengadu Dipukul Suami, Shila Amzah Nasihat – “ Buat Laporan Polis & Ambil Bukti Yang Ada”

gempak
Shahrin Zulkifle
12/07/2022
12:00 MYT
Sponsor Banner
Peminat Mengadu Dipukul Suami, Shila Amzah Nasihat – “ Buat Laporan Polis & Ambil Bukti Yang Ada”
Penyanyi bersuara merdu, Shila Amzah berkongsi nasihat rumah tangga kepada peminatnya yang mengadu didera suami melalui soalan yang diberikan di applikasi NGL.
Menurut seorang individu yang tidak dikenali, dia meminta pandangan penyanyi itu berikutan masalah rumah tangga yang dihadapinya disebabkan perangai suaminya yang masih menggatal bersama wanita lain meskipun sudah mendirikan rumah tangga.
“Hi Sha, saya dan suami adalah sahabat baik sebelum berkahwin, suami ramai kawan wanita dan saya ramai kawan lelaki.
“Lepas kahwin saya tiada lagi kawan lelaki tetapi suami masih berkawan dengan wanita-wanita lain.
“Saya ingat dia akan berubah selepas kahwin, tetapi saya silap. Malah kawan wanitanya makin ramai.
“Sekarang saya diabaikan, dia lebih sibuk melayan kawan wanitanya berbanding saya.
“Lepas kahwin dia terus tunjuk perangai dia, saya ada pujuk minta cerai tapi saya dipukul, apa perlu saya buat?” tanya individu terbabit.
Shila atau pemilik nama asal Nur Shahila Amir Amzah, 32, menasihati individu berkenaan untuk membuat laporan ke pejabat agama bagi mendapatkan nasihat kaunseling.
“Awak memang nak dilepaskan ke? Memang dah tak boleh nak berbaik semula boleh terus hubungi peguam je, atau terus pergi ke pejabat agama untuk buka kes dahulu.
“Tapi selalunya mereka akan suruh pergi kaunseling dahulu,” tulis Shila.
Juara pertandingan nyanyian Masked Singer Malaysia musim ke-2 itu turut memberitahu wanita berkenaan untuk terus membuat laporan polis ekoran dirinya sudah dipukul suaminya.
“Tapi sekarang ini dah mula naik tangan semua, kalau awak memang dah tak nak dia lagi buat sahaja laporan polis, ambil gambar semua bukti yang ada.
“Selalunya kes tak selesai disebabkan isteri selalu lepas kena pukul kemudian balik semula kepada suami.
“Sha difahamkan kita masih tiada kanun berkenaan dengan hukuman untuk kes penderaan suami isteri ini, jadi hati memang kena kental.
“Kalau tiada pilihan lain awak boleh terus ke pejabat agama,” tambah Shila.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live