Viral
Peminat Peluk Islam Selepas Dengar Siti Nyanyi 'Aisyah Istri Rasulullah'
Seorang peminat mendedahkan dia telah memeluk agama Islam selepas mendengar lagu Aisyah Istri Rasulullah dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza di YouTube.
Perkara itu dikongsikan di ruangan komen saluran YouTube Siti Official Video baru-baru ini.
"Saya minat CTDK (Siti) ini. Sejak mendengar lagu ini, saya memeluk Islam. Saya baru saja tiga hari memeluk Islam. Saya tanya ustaz adakah lagu ini punca saya memeluk Islam.
"Ustaz berkata, lagu nyanyian CTDK ini adalah ‘asbab’ saya memeluk Islam. Allah salurkan hidayah pada saya melalui indah pada maksud lagu ini dengan nyanyian CTDK. Semoga saya terus kuat mencintai sosok nama yang dimaksudkan dalam lagu ini. Terima kasih CTDK," katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, Siti berkata, dia berdoa semoga peminatnya itu akan terus istiqomah.
"Saya dapat tahu hal ini kerana ditulis di ruangan komen video lagu Aisyah Isteri Rasulullah yang saya nyanyikan semula. Bagi saya, Allah sudah memberikan dia hidayah dan lirik lagu itu mempunyai kebaikan dan keistimewaan yang menggerakkan hatinya. Semuanya Allah yang mengatur.
"Apa saja kebaikan yang berlaku, saya sangat bersyukur kerana ada perkara yang kita lakukan memberi dorongan kebaikan kepada orang lain. Doa saya supaya dia akan istiqamah kerana menjadi insan terpilih mendapatkan hidayah Allah," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Siti, sebagai penyanyi dia sentiasa berusaha menerapkan nilai baik dan positif dalam lagu nyanyiannya.
“"Secara jujur, sebagai penyanyi, saya juga berusaha menerapkan nilai-nilai baik dan positif di dalam lagu-lagu saya. Inilah yang saya usahakan kerana saya tahu, siapa pun kita, masing-masing ada peranan untuk mendorong orang lain menjadi insan yang lebih baik, bersemangat, tidak mudah putus asa serta bangkit," katanya.
Komen peminat yang ditulis empat hari lalu itu mendapat tanda suka mencecah 2,000 dan hampir 200 komen.
Video yang dimuatnaik pada 10 April lalu yang terlebih dahulu dirakamkan di aplikasi Smule itu mencecah 2 juta tontonan.
Lagu asal Aisyah nyanyian Projector Band itu dinyanyikan semula dalam versi lirik Islamik hasil sentuhan Ustaz Hasbi Muh Ali pada 2017 menggunakan tajuk Aisyah RA.
Selepas tiga tahun, lagu itu tular baru-baru ini selepas dinyanyikan semula beberapa penyanyi Indonesia dan Malaysia antaranya Sabyan, Via Vallen dan Siti.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video