Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria bukan sahaja dihormati dan disegani rakyat malah kepimpinannya amat disenangi jiran tetangga di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh.

Memetik laporan Sinar Harian, seorang jiran Allahyarham, Putera Iszrin Shah Mohd Isak, 52, menyifatkan Harussani seorang yang berhati luhur dan sangat memuliakan jiran tetangga.

Menurutnya, Allahyarham selalu menjadi individu pertama tampil membantu sebaik sahaja mendengar masalah dan kesusahan komuniti di kejiranannya, sehingga masalah yang dihadapi selesai.

"Kalau tak silap saya Allahyarham dan keluarga berpindah ke kampung ini sekitar 1985 ketika mula dilantik menjadi Mufti Perak.

"Pada awal dulu banyak masalah timbul isu tanah, rumah dan sebagainya yang dihadapi penduduk termasuk ibu saya sendiri, tetapi Alhamdulillah semuanya dapat diselesaikan dengan bantuan Allahyarham," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, Allahyarham juga sangat pemurah dalam menghulurkan bantuan dan tidak pernah berkira membantu penduduk yang berdepan kesusahan.

"Rumah ibu saya dulu asalnya rumah pusaka, banyak dinding dah reput, dengan bantuan Allahyarham, kami dapat baik pulih rumah agar lebih selesa untuk didiami," katanya.

Malah ketika sihat, Allahyarham sangat aktif dalam program komuniti dan mengimarahkan masjid di kawasan kampung itu.

"Hubungan kejiranan di sini dengan Allahyarham sudah jadi seperti satu keluarga besar.

"Pemergian Allahyarham seolah meragut separuh kegembiraan kami di sini. Kami bangga kerana dalam kampung ini ada seorang tokoh yang tinggi darjatnya dan disegani semua pihak," katanya lagi.

Pada Ahad, Harussani, 82, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 2.45 petang.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya kira-kira jam 6.20 petang.