Peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Vicha mengakui penantiannya selama enam tahun berbaloi apabila berjaya merangkul trofi Gempak Man of The Match (GMOTM) di minggu kesembilan.

Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman, 29, berkata, kejayaan ini merupakan hadiah paling bermakna untuknya sepanjang bergelar sebagai seorang pelawak.

"Ternyata penantian saya sejak tahun 2011 berbaloi apabila dinobatkan sebagai pemenang GMOTM pada minggu ini.

"Saya juga tidak menyangka akan memenanginya kerana beranggapan piala tersebut hanya untuk peserta lelaki sahaja dan bukannya kepada wanita.

"Ini merupakan sesuatu yang luar biasa kerana orang ramai mula menyedari kehadiran saya dalam industri lawak di Malaysia dan mereka mengundi saya untuk memenangi piala ini.

"Nampaknya segala usaha keras saya bersama kumpulan Masin terbalas kerana bukan mudah untuk menghiburkan orang memandangkan kami sebagai kumpulan yang baru digabungkan bersama," katanya kepada Astro Gempak.

Vicha ditemui ketika majlis sidang media minggu kesembilan MLM2017 bertempat di Royal Theater Shah Alam pada Jumaat.

Pada minggu kesembilan bertemakan 'Cerita Rakyat dan Cerita Moden' menyaksikan kumpulan Joras telah tersingkir selepas mendapat markah terendah.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Datuk Aznil Nawawi dan Neelofa yang akan mengadili para peserta.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda sebagai Gempak Man Of The Match (GMOTM), klik di sini ----> MAHARAJA LAWAK MEGA 2017

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi