Berita

Pendapatan Astro Suku Tahun Kedua FY25 Meningkat 2 Peratus Kepada RM787 Juta

gempak
Awani
30/09/2024
13:25 MYT
Sponsor Banner
Pendapatan Astro Suku Tahun Kedua FY25 Meningkat 2 Peratus Kepada RM787 Juta
Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) mencatat prestasi kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2025, dengan pendapatan meningkat dua peratus suku ke suku kepada RM787 juta.
Ia didorong oleh peningkatan pendapatan langganan yang dipacu oleh acara sukan utama dan permintaan berterusan bagi perkhidmatan jalur lebar.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata keputusan tersebut dicapai sungguhpun cabaran dalam persekitaran pengiklanan di mana perbelanjaan pengiklanan (Adex) merosot sebanyak 19 peratus suku ke suku kepada RM70 juta berpunca daripada faktor luaran seperti konflik Asia Barat yang berterusan.
"Tanpa mengambil kira keuntungan pertukaran mata wang asing yang belum direalisasikan daripada liabiliti sewaan transponder, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ternormal sebanyak RM27 juta; peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding suku sebelumnya.
Ia menambah, dalam tempoh sama, reputasi Astro terus mengukuh sebagai Home of Sports Malaysia, sekali gus menguatkan syarikat itu sebagai destinasi kandungan premium acara sukan.
"Sebagai penyiar terkemuka negara, Astro memberikan pengalaman tiada tandingan dengan menghimpunkan jutaan rakyat Malaysia bagi menyaksikan beberapa acara sukan terbesar di dunia.
"Dari detik mendebarkan UEFA Euro 2024 hingga ke kegemilangan Copa America 2024 dan kemegahan Sukan Olimpik di Paris, Astro bukan sahaja membawakan liputan malah menyediakan platform menghidupkan dan menyemarakkan lagi semangat kesukanan negara.
"Acara-acara sukan terkemuka ini telah menarik sejumlah 15.4 juta penonton di Astro, memeriahkan lagi semangat rakyat Malaysia selain memberi sokongan kepada rangkaian kandungan kami," jelas syarikat itu lagi. Dalam perkembangan sama, bilangan pengguna jalur lebar Astro Fibre mencatat kenaikan 11 peratus tahun ke tahun, hasil daripada pakej yang menarik.
sooka juga menyaksikan perkembangan signifikan dengan pengguna aktif bulanan meningkat kepada 60 peratus kepada 1.3 juta dan jumlah pelanggan VIP yang membayar lebih daripada dua kali ganda.
Astro juga memaklumkan, sepanjang 2024, Astro AWANI terus menyerlah membuktikan sekali lagi mengapa saluran berita 24 jam itu kekal sebagai jenama Berita Paling Dipercayai di Malaysia oleh Reuters Digital Institute dan University of Oxford untuk tahun ketujuh berturut-turut.
Selain itu, pengaruh Astro juga melangkaui sempadan negara termasuk meraih sembilan anugerah berprestij pada Anugerah ContentAsia 2024 di Taipei.
"Selain itu, penjanaan tunai kekal kukuh, dengan aliran tunai bebas meningkat sebanyak 52 peratus kepada RM 171 juta suku ke suku," kata kenyataan itu pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata perjalanan transformasi syarikat didorong oleh komitmen ‘Team Astro’ untuk menjadikan syarikat sebagai destinasi hiburan dan penstriman nombor satu di Malaysia.
"Dalam usaha kami untuk pertumbuhan yang berterusan dan mampan, kami sedang meningkatkan kandungan tempatan dengan memanfaatkan kelebihan kompetitif melalui pengeluaran berkualiti tinggi dan penceritaan segar dalam Astro Originals, siri khas dan filem.
"Kami bertekad mencipta lebih banyak nilai untuk pelanggan dengan memperluas variasi kandungan dalam tawaran peringkat rendah dan menurunkan harga kemasukan untuk Astro dan sooka, bagi menarik lebih ramai pelanggan.
"Saya gembira untuk melaporkan bahawa kami berjaya mempercepatkan pertumbuhan perniagaan berkaitan kami - sooka, Astro Fibre, Enterprise, dan ‘Addressable Advertising’, dengan mencapai segmen pasaran baharu dan sedia ada dengan nilai serta fleksibiliti yang lebih baik," tambah Smith.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024