Penerima hati pertama negara, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, yang sebelum ini dilaporkan kritikal sejak 13 Februari lalu meninggal dunia pada Selasa.

Berita tersebut dikongsikan Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail yang juga penderma hati kepada Mohd Afiq Ikmal.

Wan Mohd Hafizam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada bapa Mohd Afiq, Muhammad Zaini Rahim pagi tadi memaklumkan berita tersebut.

"Panggilan diterima selepas Subuh ketika saya dalam perjalanan pulang selepas berjemaah di surau berhampiran rumah.

"Sememangnya saya terkejut kerana semalam (Isnin) semasa melawatnya bacaan jantungnya normal, namun kita kena reda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, Wan Mohd Hafizam mengakui sedih dengan khabar pemergian Mohd Afiq Ikmal.

"Saya jangka saya pergi dulu kerana dari segi usia saya lebih tua berbanding Allahyarham. Saya sebenarnya berharap Afiq dapat terus hidup lebih lama dan menyambung legasi sebagai penderma organ suatu hari nanti, tetapi apakan daya, Allah lebih menyayanginya.

"Sebahagian hati saya dalam tubuh Allahyarham dan dia bawa sekali bahagian itu menghadap llahi. Sebahagian daripada saya juga sudah dikebumikan," katanya.



Mengimbau perjalanan Mohd Afiq Ikmal dirawat di Hospital Selayang, Wan Mohd Hafizam berkata, beliau ada menyuarakan hasrat untuk sekali lagi mendermakan sebahagian hatinya kepada Allahyarham.

"Hasrat ini dinyatakan kepada keluarga Mohd Afiq Ikmal selepas saya dimaklumkan Allahyarham perlu menjalani sekali lagi pembedahan pemindahan organ, apabila dia berada dalam keadaan stabil.

"Bagaimanapun, ia tidak kesampaian dan kami semua ketika itu sentiasa mendoakan Allahyarham dapat kembali sembuh seperti sedia kala," katanya.

Jenazah Mohd Afiq bakal dibawa pulang ke Tikam Batu, Kedah hari ini untuk urusan pengebumian.

Mohd Afiq dimasukkan ke Hospital Selayang sejak 13 Februari lalu selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mohd Afiq menjalani pemindahan hati ketika usianya 14 bulan.

Sumber: Sinar Harian, BH Online