Pelakon Fasha Sandha, 35, atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan mengesahkan diirinya kini sedang hamil.

Namun Fasha berkata kepada Harian Metro pengalaman mengalami keguguran pada Jun lalu membuatkan dirinya masih fobia dan tidak akan berkongsi usia kandungannya.

“Maaf, sama seperti dulu, saya masih tidak mahu komen mengenai usia kehamilan saya. Minta peminat doakan yang baik-baik.

“Pengalaman beberapa kali pernah keguguran dulu membuatkan saya kurang bercakap mengenai perkara ini. Saya masih fobia atas pengalaman lalu.

“Apa pun, terima kasih kerana ramai yang mendoakan saya dan suami cepat dikurniakan anak,” katanya.

Menurut Fasha, dia sedang berehat daripada terbabit dalam penggambaran drama.

“Saya sedang berehat seketika daripada berlakon dan hanya fokus dalam komitmen untuk promosi drama dan sebagai duta,” katanya.

Terdahulu, Fasha yang berkahwin dengan pelakon, Aidil Aziz pada Mac lalu berkongsi berita kehamilan pada Mei.

Namun, Fasha diberitakan mengalami keguguran selepas pulang daripada berhari raya di rumah keluarga mentua di Rembau, Negeri Sembilan.

Sekali lagi, pada November lalu Fasha dikhabarkan hamil. Bagaimanapun, dia yang ditemui pada sebuah acara tidak mengesah atau menafikan perkara itu.

Menerusi perkahwinan pertamanya, bintang jelita itu dikurniakan dua anak, Putra Rayfal Ramli, 7, dan Putri Raysha Jemyma, 5.

Sumber: Harian Metro