BERITA
Pengantin Ini Buat Majlis Kahwin 'Drive-In', Tetamu Hadir Duduk Dalam Kereta, Tak Boleh Keluar Kecuali...
Sejak pandemik Covid-19, sememangnya banyak norma baharu yang dilalui kita semua demi memastikan agar rantaian virus tersebut dapat diputuskan.
Antara norma baharu yang mula dipraktikkan kita semua termasuklah penganjuran majlis pernikahan online serta majlis resepsi dengan jumlah tetamu yang terhad.
Begitupun, berbeza pula bagi pasangan pengantin Roma Popat dan Vinal Patel, yang menganjurkan sebuah majlis perkahwinan secara 'drive-in' pada minggu lalu.
Semuanya gara-gara selepas kerajaan England menetapkan jumlah tetamu tidak melebihi 15 orang sahaja.

Bagi mengatasi masalah 'sekatan' jumlah tetamu, pasangan berusia 30 tahun itu kemudian mengadakan majlis di sebuah kawasan lapang seluas 500 ekar di Braxted Park, Essex bagi menempatkan kenderaan tetamu.
Kesemua 250 tetamu yang hadir tidak dibenarkan keluar daripada kenderaan masing-masing melainkan hanya untuk pergi ke tandas bergerak yang disediakan sahaja.


300 tetamu lain juga turut menyaksikan perkahwinan mereka menerusi satu pautan video yang dibuat secara langsung.
Bahkan,tetamu yang hadir diberikan pek yang mengandungi snek makanan, gel pembasmi kuman dan plastik sampah.
Majlis perkahwinan Hindu selama empat jam itu juga membenarkan tetamu membuat pesanan makanan daripada laman web yang ditetapkan sebelum dihantar terus ke kenderaan mereka sahaja.

Sejurus tamat majlis pernikahan, pasangan tersebut kemudian menaiki buggy untuk bertemu dengan para tetamu yang hadir menyaksikan majlis pernikahan mereka dari dalam kereta.
Bahkan, para tetamu hanya melambai dan membunyikan hon kereta sebagai tanda ucapan tahniah kepada pasangan tersebut.

"Kami menerima banyak panggilan dan mesej daripada tetamu yang mengatakan mereka cukup teruja dan menikmati pengalaman menghadiri majlis perkahwinan sedemikian.
"Ia merupakan detik yang tidak akan kami lupakan," kata Roma seperti yang dilaporkan portal DailyMail UK.

Apapun, ini antara idea yang cukup bernas!
Mana tidaknya, impian mereka untuk memastikan semua senarai tetamu dapat hadir menjadi kenyataan!
Apa yang penting, mereka patuh kepada perintah arahan yang ditetapkan kerajaan.
Sumber: DailyMail UK

Must-Watch Video