Pengasas produk kecantikan yang juga pempengaruh media sosial, Aleeya Zailan, 37, tidak menolak untuk menceburi industri hiburan tempatan andai diberikan peluang.

Namun begitu, kata pemilik jenama Avenys itu, keberadaannya di dalam bidang kreatif bukanlah selaku 'pemain' utama, namun cukup sekadar penaja yang berada di sebalik tabir.

"Saya bukannya tak sukakan hiburan, malah keluarga saya pun memang gemar menyanyi dan berhibur.

"Namun saya dan suami mempunyai empayar perniagaan untuk diuruskan, tidak hanya bergantung harap kepada kakitangan syarikat semata-mata.

"Jika mahu membabitkan diri dalam bidang ini, cukuplah sebagai penaja atau rakan strategik yang duduk di belakang kamera, tidak begitu menyerlah.

"Biar jenama atau bisnes kami yang ke depan, bukannya diri kami," ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Avenys di The Linc, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tegasnya, pemilihan program atau rancangan perlulah bersesuaian dengan produk-produk di bawah jenama Avenys.

Aleeya sebelum ini cukup terkenal di laman Facebok dan TikTok menerusi video-video masakannya bersama suami.

Selain produk kosmetik, Aleeya turut mengeluarkan beberapa koleksi tudung sebagai salah satu cabang niaganya.