Pendakwah bebas dan ikon negara yang disayangi ramai, Ebit Lew masih belum berhenti dalam usahanya membantu rakyat yang berada dalam kesusahan.

Terbaharu, Ebit menyediakan penginapan secara percuma di sebuah hotel 4 bintang buat waris pesakit dari luar bandar yang datang ke Kuala Lulur untuk mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Ebit, penginapan yang terletak di Hotel Premiera KL itu akan diberikan kepada sesiapa yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Pohon doakan ya penginapan kasih umat secara percuma pada waris pesakit yang datang ke Kuala Lumpur untuk dapatkan rawatan IJN dan HKL.

“Kepada yang benar-benar memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama. Penginapan di Hotel Premiera KL. Jika sesiapa benar memerlukan boleh hubungi 01170772380. Insya-Allah kos penginapan saya akan tanggung.

“Terima kasih Premiera Hotel yang sangat baik dan memudahkan urusan dan impian saya. Cantik dan sangat selesa. 4 bintang. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya.

Ebit berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menerusi tinjauan Gempak, rata-rata memuji usaha murni Ebit itu yang tidak berhenti membantu serta memudahkan sesiapa yang berada dalam kesusahan.

“Syukur alhamdulillah, moga ustaz ebit sentiasa diberi kesihatan yang baik,” komen salah seorang pengikutnya.

“Seriuslah ustaz, benda ni tak banyak NGO terfikir rasanya nak buat,” puji salah seorang warga maya.

“Terbaik ustaz, harap sangat tak ada orang yang salah guna atau amik kesempatan bukan-bukan di atas kebaikan ustaz,” kata salah seorang netizen.

Ebit popular dengan kemurahan hatinya yang suka menderma dan membantu rakyat Malaysia tidak kira dari segi kewangan serta keperluan.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)