Polis menahan seorang pengurus tahfiz selepas disyaki melarikan isteri ketiganya ke Kelantan tanpa kerelaan dan dikurung di sebuah inap desa, 12 Oktober lalu.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku ekoran mangsa enggan bercuti di Kelantan serta tidak mahu mendaftar taraf perkahwinan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku apabila wanita tempatan berusia 38 tahun itu berada di dalam lif pangsapuri kediamannya di Taman Ampang Mewah, Ampang, Selangor.

Katanya, mangsa telah berjumpa dengan dua lelaki tidak dikenali yang meminta dirinya untuk mengikuti mereka kerana suaminya sedang menunggu di tangga berdekatan.

“Semasa di tangga, suspek telah meminta pengadu untuk masuk ke dalam kereta untuk mengikutinya.

“Mangsa seterusnya dibawa ke Kelantan tanpa kerelaan dan dikurung di sebuah inap desa di Pasir Puteh, Kelantan bersama suspek.

“Bagaimanapun, keesokan harinya, sekitar pukul 12.30 malam, mangsa berjaya melarikan diri ketika suspek sedang tidur dan pergi ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Azam, sepasukan polis telah membuat dua tangkapan membabitkan suami mangsa yang berusia 39 tahun bersama pembantunya seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun di sebuah pangsapuri di Taman Ampang Mewah, di sini, Khamis lalu.

“Tangkapan yang dibuat sekitar pukul 3 petang itu mendapati, suspek yang juga pengurus tahfiz mempunyai rekod kesalah lampau. Turut dirampas tiga buah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kerana mangsa enggan mengikuti suspek bercuti di Kelantan serta enggan untuk mendaftar taraf perkahwinan. Mangsa juga merupakan isteri ketiga suspek,” katanya.

Tambah Mohd Azam, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa hadapan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya.

“Jika sabit kesalahan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda,” katanya

Sumber: Kosmo! Online

BACA: