Berita

Penjawat Awam Usia 59 Tahun Duduki SPM, Hanya Belajar Di Rumah - “Saya Ingin Cuba & Cabar Diri”

gempak
Gempak
29/05/2024
02:42 MYT
Sponsor Banner
Penjawat Awam Usia 59 Tahun Duduki SPM, Hanya Belajar Di Rumah - “Saya Ingin Cuba & Cabar Diri”
Mahu mencabar kemampuan diri dan seronok belajar mendorong seorang penjawat awam berusia 59 tahun menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Hamidan Yahaya yang bertugas sebagai pemandu awam Kementerian Pertahanan di Kem Bukit Keteri (Rejimen 504 Askar Wataniah) dekat sini, menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan berjaya memperoleh B+ pada keputusan yang diumum semalam.
"Saya ingin cuba dan cabar diri. Saya juga seronok masuk dewan peperiksaan," katanya ketika ditemui pemberita
Menurut Hamidan beliau hanya belajar sendiri di rumah tanpa bantuan sesiapa dengan memperbanyakkan membuat latih tubi mata pelajaran berkenaan.
"Saya tak ada cikgu, tidak pergi tuisyen, tidak berpandukan TikTok atau Google... dengan hanya guna buku yang dibeli sendiri, buat latihan, kemudian tengok jawapan di belakang buku," katanya.
Hamidan yang mempunyai lima anak berusia antara 20 hingga 32 tahun berkata beliau pernah menduduki peperiksaan SPM 2022 bagi mata pelajaran Matematik dan memperoleh A dengan hanya belajar sendiri.
Beliau mengakui sememangnya terdapat cabaran dalam soalan peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik pada masa ini iaitu sedikit sukar berbanding SPM yang didudukinya 42 tahun lepas.
"Dulu (42 tahun lepas) keputusan SPM saya dapat pangkat tiga, untuk Sains dan Matematik (sekadar) lulus," katanya yang merancang untuk mengambil peperiksaan SPM 2024 bagi mata pelajaran Pendidikan Islam.
Hamidan turut menasihati golongan muda supaya mengambil berat akan kepentingan peperiksaan SPM yang merupakan langkah permulaan untuk masa depan lebih baik.
Sumber: AWANI menerusi BERNAMA
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live