Pasti ramai yang rindu hendak menjejajakkan kaki ke panggung wayang sejak ia ditutup lebih setengah tahun yang lalu gara-gara pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Namun mungkin ada berita baik bakal untuk kaki wayang tidak lama lagi apabila Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) memohon kerajaan mempertimbangkan pembukaan semula pawagam kepada penonton yang sudah lengkap mengambil dua dos vaksin sebagai langkah keselamatan.

Pengerusi MAFE, Tan Sri Datuk Mohd Ghazali Datuk Mohd Seth berkata, permohonan dibuat selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan kelonggaran bagi aktiviti sukan, sosial dan makan di restoran bagi mereka yang sudah mendapat vaksinasi COVID-19 sepenuhnya.

Justeru, katanya, MAFE memohon pertimbangan kerajaan bagi membenarkan pembukaan semula pawagam di bawah peraturan yang sama.

"Oleh kerana kerajaan sedang mempertimbangkan pembukaan sektor terpilih bagi mereka yang sudah divaksinasi, industri pawagam juga memohon menjadi sebahagian daripada kelonggaran dan hak istimewa ini.

"Prosedur operasi standard (SOP) pawagam antara yang paling ketat, kami tidak membenarkan penonton berlegar-legar di pawagam. Penonton juga dikehendaki sentiasa memakai pelitup muka sepanjang masa, selain memastikan penjarakan fizikal dan tempat duduk.

"Dengan membenarkan penonton yang sudah divaksinasi ke pawagam, kami yakin pawagam akan menjadi tempat yang selamat untuk mencari ketenangan dan hiburan.

"Kami percaya ia sangat penting untuk pemulihan kesihatan mental rakyat di negara ini," katanya kepada BH Online.

Mohd Ghazali berkata, walaupun mengenakan SOP yang ketat, namun pawagam sering menjadi sektor perniagaan pertama ditutup dan menjadi perniagaan terakhir mendapat kebenaran beroperasi semula.

Setakat ini, katanya, belum pernah wujud kluster panggung wayang, namun pengusaha tetap diarahkan menutup pawagam selama lebih 200 hari sejak tahun lalu.

Beliau berkata, penutupan tanpa rela mengakibatkan industri panggung wayang lumpuh dan mengancam mata pencarian 20,000 tenaga kerja sama ada kehilangan pekerjaan atau berdepan pemotongan gaji yang banyak.

Terdahulu, penutupan berpanjangan pawagam menyaksikan pengunduran pemamer ketiga terbesar, MBO Cinemas pada tahun lalu.

Secara keseluruhan, lebih 25 peratus pawagam ditutup secara kekal disebabkan penutupan jangka panjang dan MAFE menjangkakan jumlah itu akan meningkat sekiranya pawagam masih tidak dibenarkan beroperasi.

Mohd Ghazali berkata, pihaknya percaya hasrat kerajaan membuka semula industri terpilih memberi kelegaan kepada rakyat yang sudah mengambil suntikan vaksinasi sepenuhnya.

Sumber: Berita Harian
Foto: Harian Metro