Pentas 360 Darjah, Siti Nurhaliza Rasa Dejavu Konsert 22 Tahun Lepas! - "Saya Kagum Dengan ..."
Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan penampilannya ketika di sebuah konsert anjuran jenama pakaian terkenal, Bulan Bintang baru-baru ini sebagai sebuah dejavu.
Kata Siti, ia disebabkan acara tersebut diadakan di lokasi sama dengan sebuah konsert yang pernah dianjurkannya sekitar tahun 2001 dahulu iaitu Konsert Mega Siti Nurhaliza.
Malah, jelasnya kedudukan pentas 360 darjah pada konsert berkenaan juga seakan sama apabila berada di tengah-tengah dewan Axiata Arena.
“Persembahan di Konsert Malam Bulan Bintang pada hari Sabtu yang lalu. Terasa dejavu dapat muncul di tempat yang sama dengan kedudukan pentas di tengah seperti konsert Mega saya pada tahun 2001.
“Masa berlalu, teknologi dan kepakaran juga berubah, saya kagum dengan semua kecanggihan yang berlaku dewasa ini,” katanya.
Siti berkongsi kenangan tersebut menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelantun lagu Purnama Merindu itu turut meluahkan rasa syukur dengan segala kejayaan dan nikmat yang dikurniakan kepadanya selain mengingatkan kepada umum agar tidak membandingkan diri dengan orang lain.
“Tiada yang lama, tiadalah yang baru, semuanya menyimpan kenangan dan pengalaman yang berbeza-beza.
“Itulah manisnya untuk kita sentiasa merasa bahagia dengan setiap apa yang kita kecapi, selama kita menikmati dengan syukur, segalanya mudah.
“Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain untuk kita selalu dapat memahami nikmat dan makna syukur,” tambahnya.
Terdahulu, Siti menyampaikan beberapa buah lagu popular miliknya di Konsert Malam Bulan Bintang seperti lagu Purnama Merindu, Anta Permana, Basyirah dan Mikraj Cinta.
Siti Nurhaliza bagi hint akan muncul dengan 2 buah konsert / persembahan eksklusif tahun ini pic.twitter.com/L78qdiDM0i— 고운 흰 천 (@BAD_ARSILA) March 7, 2023