Permintaan yang tinggi termasuk pembelian panik antara faktor menyebabkan bekalan telur berkurangan di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Datuk Mark Ujin memberitahu, pusingan pengeluaran telur yang rendah juga menyebabkan masalah tersebut berlaku.

Namun beliau memberi jaminan bekalan telur akan kembali pulih dan mencukupi termasuklah bagi menampung permintaan semasa musim perayaan Deepavali.

"Ia hanya berlaku gangguan bekalan, bukan stok tidak ada tetapi dari segi permintaan tinggi dan pada masa sama pengeluar ada masa 'down time' yang mana memerlukan masa untuk kembalikan semula barisan pengeluaran.

"Jadi kita minta orang ramai tidak membuat pembelian panik dengan jumlah yang banyak dan tidak memilih gred tertentu kerana bekalan telur adalah mencukupi," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang, Muhamad Radzi Johari.

Menurut Mark, bekalan telur ayam di seluruh negeri akan kembali seperti biasa tidak lama lagi serta mengambil sedikit masa lagi selepas bekalan baharu sampai.

"Kita akan terus melakukan pemantauan di seluruh negeri bagi memastikan bekalan telur dan barangan keperluan lain adalah mencukupi untuk kegunaan orang ramai," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan SHMMP Deepavali 2022, beliau memberitahu ia akan berkuat kuasa bermula 20 Oktober hingga 26 Oktober melibatkan lapan jenis barangan terkawal sempena perayaan terbabit.

"Antara barangan terkawal SHMMP Deepavali 2022 ialah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar dan kacang dal.

Sementara itu, beliau menjelaskan sepanjang Januari 2022 sehingga kini, KPDNHEP Pahang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 28,128 premis perniagaan yang terdiri daripada peringkat pemborong dan peruncit.

Ujar beliau, sepanjang pelaksanaan SHMMP melibatkan pelbagai perayaan tahun ini pula sebanyak sembilan kes telah dicatatkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melibatkan kompaun sebanyak RM2,300.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti," kata beliau.

Sumber: Sinar Harian

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!