Pelakon dan usahawan Wawa Zainal menasihatkan wanita yang ingin berkahwin agar menyelidik dan memilih lelaki yang bukan suami orang.

Tegas Wawa, wanita seharusnya saling menghormati dan melindungi sesama sendiri tanpa perlu mementingkan diri sendiri dalam soal perasaan dan berumah tangga.

"Mana-mana perempuan di luar sana tu, janganlah ‘merenyam’.

"Kalau dah tahu suami orang, janganlah kacau sebab kita sepatutnya memahami isi hati sesama perempuan," ujarnya kepada Gempak.

Wawa ditemui pada majlis pelancaran produk wangian kolaborasi Wawa Cosmetics dan Rozyana, Legenda Kembali Asmaradana di Rumah Tangsi baru-baru ini.

Melanjutkan bicara tentang isu poligami, kata Wawa, dia tidak menentang pilihan berkenaan asalkan setiap individu menjaga keharmonian sesama sendiri.

"Kalau perempuan itu setuju atau rela hati dimadukan, okey sahaja. Tapi, kalau dia tak rela dimadukan, tak bolehlah kot.

"Ada sahaja isteri pertama rela dimadukan sebab dia bosan di rumah ke," tambahnya.

Terdahulu, dunia hiburan tanah air digemparkan dengan perkahwinan sutradara, Syamsul Yusof dengan isteri kedua, Ira Kazar di Thailand sehingga membawa kepada tuntutan cerai isteri pertama, Puteri Sarah Liyana.