Episod tiga Projek: Anchor SPM boleh dikatakan sebagai episod yang menyerlah buat Aaizat lakonan Aedy Ashraf.

Menerusi tayangan Isnin lalu, penonton dapat melihat sisi lain Aizat yang sebelum ini masih menjadi tanda tanya.

Mengapa dia tidak pulang ke rumah ketika cuti sekolah? Apakah masalah Aizat dengan keluarganya?

Biarpun tidak sepenuhnya diterangkan, namun sedikit sebanyak penonton dapat merungkai apa sebenarnya masalah menyelubungi Aizat selama ini.

Pada masa sama, menerusi pemantauan Gempak di Twitter, rata-ratanya menyukai hubungan Aizat dengan Aaidaa lakonan Daiyan Trisha.

Kebanyakan mereka menganggap kedua-dua watak tersebut sangat serasi dan 'cocok'.

Malah, ada juga yang berpindah daripada meminati Hilmi lakonan Nadhir Nasar kepada Aizat.

“Weh berani gila Aizat ni, nak mencuri kertas periksa pula”

“Dia belanja 6pack dowh minggu ni, cair la Aaida”

“Sorry Hilmi, i team Aizat now” tulis beberapa netizen.

Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Apapun, saksikan Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra setiap Isnin pada jam 9.00 malam.

Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand.