Hiburan
Perkahwinan Diraja Britain: Priyanka Chopra Dikhabarkan Bakal Jadi Pengapit Meghan Markle
Majlis perkahwinan diraja yang ditunggu-tunggu bagi mengikat tali percintaan di antara Putera Harry dan pasangan pilihannya, aktres Amerika Syarikat, Meghan Markle bakal berlangsung tahun depan.
Menurut sumber yang dipetik E! News, Harry dikatakan sudah memohon kebenaran agar abangnya Putera William, menjadi pengapitnya pada majlis yang dijadual berlangsung pada Mei tahun hadapan di Istana Windsor.
Selain William dan isterinya Kate Middleton, anak-anak mereka Putera George dan Puteri Charlotte juga dikatakan akan menjadi individu penting pada majlis itu nanti.
Persoalannya, siapa pula yang bakal menjadi pengapit pengantin perempuan?
Apa yang pasti, Middleton bukan calon yang sesuai.
Memandangkan Duchess of Cambridge itu sudah berkahwin, ia menjadikan beliau kurang sesuai ekoran tugasan sebagai pengapit, secara tradisinya, khusus buat wanita bujang.
Selain itu, Middleton yang juga sedang hamil anak ketiga bakal melahirkan anak pada April depan, beberapa minggu sebelum upacara perkahwinan diraja itu.
Justeru, pengapit Markle masih menjadi tanda tanya.
Namun, ada spekulasi yang mengatakan kemungkinan bintang tenis dunia, Serena Williams, pelakon Bollywoood, Priyanka Chopra, atau rakan-rakan pelakon Hollywood lain, malah Puteri Charlotte sendiri boleh jadi pengapit Markle.
Priyanka merupakan sahabat baik kepada Markle dan gembira atas berita pertunangan pasangan itu.
Sumber: Astro Awani
Foto: Bollyworm.com
Must-Watch Video