Miss Universe Malaysia 2020 Francisca Luhong James berasa teruja untuk menunjukkan kepelbagaian budaya dan asal-usulnya yang diperagakan sebagai kostum kebangsaan pada pertandingan ratu cantik berprestij itu.

Menurut Francisca, selain teruja, perasaan gementar juga turut ada memandangkan sesi kostum kebangsaan itu menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan oleh semua warga dunia.

“Pada saya berasa gementar ketika berada di atas pentas itu perkara yang normal. Tapi ia lebih mengujakan saya sebab saya dapat menukar pakaian dan tunjukkan kepelbagaian warna, budaya dan identiti Malaysia pada dunia.

A post shared by Missosology (@real_missosology)


“Jadi perasaannya bercampur-baur tapi sejujurnya, saya agak seronok melakukannya,” ujar Francisca kepada Gempak.

Francisca ditemui ketika majlis memperkenalkan kostum kebangsaan dan gaun petang Miss Universe Malaysia 2020 yang diadakan di Vouge Lounge, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada majlis memperagakan kostum kebangsaan tersebut, Francisca membawa kostum bertemakan ‘Kampungku’ hasil rekaan pereka ternama Carven Ong.

Sebagai permulaan, Francisca akan mengenakan dres hitam putih kembang dengan motif etnik Sarawak sebelum menukarnya kepada busana sarat berwarna oren keemasan.

Difahamkan Francisca akan menukar pakaian tersebut di dalam rumah seberat 45kg yang dibawanya bersama dan masa yang diperuntukkan hanyalah 30 saat.

Pertandingan Miss Universe akan diadakan pada 16 Mei ini di Florida, Amerika Syarikat.

Anda boleh mengundi Francisca untuk mara ke Top 21 dengan memuat turun aplikasi Miss Universe di Google Play Store atau App Store sebanyak yang mungkin.

Selamat maju jaya buat Francisca Luhong James!