Laman Utama
Permintaan Tinggi, Harga Makanan Naik Serentak Punca Ayam Kurang Di Selangor
Isu ketiadaan atau sukar untuk mendapatkan bekalan ayam semakin hangat diperkatakan.
Permintaan tinggi terhadap bekalan ayam ketika musim perayaan yang berlaku serentak dengan peningkatan harga makanan bahan mentah itu antara punca bekalan sumber protein tersebut terjejas di Selangor.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim, selain daripada dua punca itu, beliau difahamkan jangkitan penyakit ayam yang berlaku di peringkat ladang juga menjadi penyumbang kepada pengurangan bekalan tersebut namun pihaknya belum menerima laporan rasmi berhubung perkara itu.
"Susulan itu satu mesyuarakat khas melibatkan jabatan dan agensi terlibat di bawah Jawatankuasa Pemodenan Pertanian dan Industri Asas negeri akan dijalankan esok. Dijangka kami akan dapat hasil mesyuarat itu esok," katanya seperti dilapor Bernama.
Izham berkata pihaknya juga telah meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri untuk menghubungi semua pembekal dan penternak ayam di Selangor untuk memeriksa status terkini bahan mentah itu.
Sementara itu Izham berkata pihaknya juga sedang menyiasat sama ada Selangor sedang menghadapi masalah bekalan ayam import dari Thailand dan China yang kebergantungan sekitar 60 peratus.
"Bekalan ayam di Selangor sebelum ini memang tidak mencukupi, memang kami import. Hanya 35 hingga 40 peratus ayam tempatan yang selebihnya memang import.
"Jadi sebab itu saya rasa saya perlu lihat kedua-duanya. Kadangkala bila bekalan kita (ayam tempatan) 'okey', tapi bila import pula terganggu, sama sahaja impaknya," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini berhubung isu bekalan ayam yang didakwa tidak mencukupi sejak kebelakangan ini, pada hari ini (23 Mei).
Must-Watch Video