Penyanyi Jessie J menambah kemeriahan karpet merah di BRIT Awards 2023 apabila tampil memakai dress merah yang mendedahkan bahagian perutnya yang sedang hamil besar.



Jessie J yang pernah mengalami keguguran pada November 2021 dilihat tersenyum dan kelihatan sangat teruja kerana impiannya untuk bergelar seorang ibu akan terlaksana.

Beberapa jam sebelum mempamerkan perut besarnya di anugerah tersebut, Jessie J terlebih dahulu mengumumkan jantina anaknya di akaun Instagram.

Berkongsi sepotong video bersama lagu yang dikatakan digemari oleh anaknya di dalam perut, Jessie J memberitahu dia bakal dikurniakan seorang anak lelaki.

“Setiap kali saya menulis lagu ini dan memainkannya, dia akan bergerak di dalam perut dengan senang hati.

“Jadi saya fikir inilah lagunya.

“Dan ya, saya akan dikurnia anak lelaki,” kata wanita berusia 34 tahun itu.

Terdahulu, Jessie J yang keguguran meminta semua peminat atau warganet bersikap baik dengannya dan wanita yang ditimpa nasib malang saat melalui perjalanan menjadi seorang ibu.

Namun kini selepas sembilan bulan mengalami keguguran dan menempuh trimester pertama dan kedua dengan pelbagai dugaan, dia hanya mahu meraikan fasa kehamilannya.

“Sesuatu yang buruk tidak terjadi selalu dan ya hari ini saya merayakan momen ini dengan sangat bahagia,” katanya seperti dilaporkan People.