Baru-baru ini, kumpulan legenda Search telah mengumumkan penyanyi rock dari Indonesia, Denden Gonjalez sebagai vokalis baharu kugiran tersebut.

Menerusi temu bual Gempak sebelum ini bersama ahli kumpulan Search, pemilihan Denden dibuat kerana kebolehannya menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, selain boleh menjadi pengantara untuk mengembangkan jajahan Search di Indonesia.

Begitupun, nama Denden mungkin kurang popular dalam kalangan penggemar muzik tanah air. Justeru, kami bawakan lima fakta mengenai lelaki bersuara lantang ini:

Nama Pentas

Nama Denden Gonjalez kedengaran sangat unik, sehinggakan ada yang pada awalnya berpendapat dia merupakan seorang penyanyi kelahiran Filipina. Telahan peminat tidak tepat sama sekali. Nama asal Denden ialah Denden Samsuhender dan dia dilahirkan pada tahun 1983 di Bandung, Indonesia.

Youtube


Denden menunjukkan kebolehannya menyanyi dengan baik sekitar tujuh tahun lalu dengan memuat naik lagu-lagu cover di laman Youtubenya. Salah satu lagu yang dinyanyikan pada waktu itu adalah lagu Isabella nyanyian kumpulan Search sendiri. Sehingga kini, video tersebut telah menerima lebih sejuta tontonan.

She’s Gone
Keupayaan Denden menyanyikan lagu bernada tinggi tidak perlu dipertikaikan lagi, terutama apabila dia menyanyikan semula lagu She’s Gone nyanyian asal kumpulan glam metal Steelheart.


Sungguhpun begitu, video cover nyanyian Denden dibuang daripada Youtube atas alasan melanggar hak cipta karya berkenaan. Melihat pada situasi berkenaan, Denden terus menghubungi pihak Steelheart untuk bertanyakan tentang isu berkenaan. Untung nasibnya, Denden kemudian diberi hak untuk merakam semula lagu She’s Gone dan ia diterbitkan secara rasmi pada tahun 2019.

The Voice Bulgaria

Berkat daripada isu pelanggaran hak cipta dan juga populariti rakaman semula lagu She’s Gone, nama Denden harum di luar negara apabila dia terpilih untuk menyertai blind audition bagi rancangan nyanyian popular, The Voice Bulgaria penghujung tahun lalu.

Sungguhpun memberi persembahan terbaik dan memukau para juri ketika itu, namun Denden menyatakan yang dia telah disingkirkan daripada pertandingan tersebut tanpa sebab. Ujar Denden, mungkin kerana visa miliknya merupakan visa pelancong atau mungkin ada hal lain yang dia sendiri tidak ketahui.

Search


Buat masa ini, Denden secara rasminya telah diumumkan sebagai vokalis baharu kumpulan Search. Jika dilihat pada saluran Youtubenya, Denden ada memuat naik sesi latihan bersama kumpulan Search. Menerusi ruangan komen di beberapa video Youtube, ramai antara peminatnya yang mendoakan kejayaan Denden sebagai vokalis baharu kumpulan legenda tersebut.

BACA: Denden Gonjalez Kini Vokalis Baharu Kumpulan Search