Dunia hiburan kembali menerima khabar kematian dalam kalangan selebriti. Semalam, dua bintang Korea Selatan ditemui mati.

Hari ini, media antarabangsa melaporkan seorang pelakon Bollywood yang juga peserta program Bigg Boss Kannada musim ketiga ditemui meninggal dunia di kediamannya di Bengaluru pada tengahari Isnin waktu tempatan.

Seperti dilaporkan Indiatimes, Jayashree ditemui mati dalam keadaan menggantung diri dalam salah sebuah bilik di rumahnya, sekaligus membuat pihak polis mengesyaki kematiannya sebagai bunuh diri.

Sebelum ini, Jayashree yang membuat kemunculan dalam dunia seni menerusi filem Uppu Huli Khara pada tahun 2017 memang sempat memberitahu pengikut dalam laman sosialnya bahawa dia sedang berperang dengan masalah depresi.

Malah pada 22 Julai 2020, dia didapati menulis: "Saya berhenti. Selamat tinggal dunia dan depresi."

Tulisan yang ditulis dalam akaun Facebooknya itu bagaimanapun dipadamkan selepas mendapat perhatian daripada banyak netizen. Dia kemudian menggantikan tulisan tersebut dengan mengatakan: "Saya sihat dan selamat. Love you all."

Pada 25 Julai, Jayashree sekali lagi menarik perhatian netizen sewaktu membuat LIVE di akaun media sosialnya apabila menyebut tentang kehidupannya yang terpuruk dan soal kematian.

"Saya tidak melakukan ini untuk menarik perhatian, publisiti atau bantuan kewangan. Saya hanya tidak mampu melawan depresi ini lagi dan menunggu kematian.

"Bukan tentang kewangan kerana ekonomi saya baik. Tapi saya mengalami depresi. Saya melalui banyak masalah peribadi, dikhianati sejak kecil dan tak mampu untuk melupakannya," kata pelakon itu dalam sesi Live tersebut.

Selain itu, Jayashree juga meminta agar netizen tidak meninggalkan komen negatif dalam Facebooknya dan mengatakan: "Saya tewas dan saya perlu kekuatan untuk mati."

Kredit Foto: The Indian Express