Bintang Hollywood Emma Stone dilaporkan selamat melahirkan anak pertamanya selepas berkahwin secara rahsia dengan Dave McCary pada tahun lalu.

Stone dikatakan telah menimang cahaya mata sulungnya pada 13 Mac lalu di Los Angeles, lapor TMZ.

Bagaimanapun sehingga kini nama dan jantina anak pertamanya itu belum diumumkan.

Malah berita Stone telah melahirkan seorang anak cukup mengejutkan kerana tidak pernah berkongsi fakta mengenai kehamilannya. Fotonya juga kali terakhir dirakamkan pada 5 Mac lalu.

Stone dan McCary bertunang pada Disember 2019. Pertunangan itu diumumkan oleh pihak pengurusan McCary melalui muat naik di Instagram yang memperlihatkan gambar mereka memakai cincin pertunangan diambil secara selfie.

Terdahulu dalam sebuah temubual bersama majalah ELLE pada Ogos 2018, Stone yang kini berusia 32 tahun mengaku perspektifnya terhadap kehidupan berkeluarga berubah seiring usia yang semakin meningkat.

"Perspektif saya mengenai anak berubah selepas semakin berusia. Saya tak pernah terfikir untuk memiliki anak.

"Sewaktu remaja saya juga tidak terfikir untuk berkahwin. Tidak akan mempunyai anak.

"Tapi bila usia semakin meningkat, saya mahu berkahwin dan sangat ingin memiliki anak," katanya.

Stone juga mengatakan fasa usia 20 tahunnya cukup baik dan saat menginjak ke usia 30 tahun, dia mahukan aktiviti yang positif.