Syarikat pengeluar kenderaan Perodua akhirnya membuka mulut berhubung dakwaan seorang wanita yang hanya sempat menggunakan kereta jenis Bezza yang baru dibelinya selama 8 jam sebelum dihantar ke pusat servis dan dibiarkan selama berbulan-bulan.

Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Roman Jaafar dalam satu kenyataan berkata, pihak mereka telah berhubung dengan wanita tersebut sejak Oktober, iaitu tarikh kereta wanita itu dihantar ke pusat servis Perodua Segamat.



“Merujuk kepada aduan yang diterima daripada pelanggan kami mengenai kereta Perodua Bezza yang baru dibeli, kami ingin memaklumkan bahawa pihak Perodua sudah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu.

“Sejak itu, kami telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu terbabit termasuklah dengan menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.

“Perodua juga telah memberi jaminan kepada pelanggan berkenaan untuk mengutamakan kes beliau dan kami juga ingin menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu ini.

“Siasatan menyeluruh berhubung isu ini sedang dijalankan dan kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai. Kami memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul dan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, seorang wanita mendakwa keretanya yang baru dibeli rosak hanya selepas 8 jam digunakan. DIfahamkan, pihak Perodua mendakwa kenderaan wanita tersebut mengalami kerosakan akibat terdapatnya bendasing seperti gula pada bahagian enjin.