Laman Utama
Persiapan Ambil Masa Sebulan, Neelofa Dedah Soal Anak & Kisah Percintaan Dengan PU Riz
Selepas meninggalkan teka-teki akhirnya selebriti popular, Noor Neelofa telah selamat disatukan dengan Pencetus Ummah (PU) Riz, 26, pada Sabtu.
Neelofa, 31, melahirkan rasa syukur kerana akhirnya majlis pernikahannya yang dirancang selama sebulan telah dapat direalisasikan seperti yang dirancang.
Menerusi satu soal jawab yang diberikan kepada Gempak, Neelofa berkongsi detik-detik perkenalannya bersama PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail yang bermula pada tahun 2017.
Menurut pengacara dan usahawan berjaya itu, dia terpikat dengan sikap PU Riz iaitu seorang yang baik hati dan matang serta pendengar yang baik.
Selain itu, Neelofa turut mendedahkan soal perancangan cahaya mata dan harapannya untuk perkahwinan yang baru dibina.
Ikuti temu bual berikut:
1 - Tahniah Lofa. Boleh ceritakan sikit tentang majlis hari ini? Kenapa memilih tema sebegini dan berapa lama masa diambil untuk merancang keseluruhan acara?
Alhamdulillah majlis yang kami rancang selamat dilangsungkan. Pereka majlis untuk majlis perkahwinan saya ini iaitu Reka Teemor berjaya merealisasikan keseluruhan dekorasi untuk hanya dalam sekitar sebulan. Benar, kekangan berlaku apabila kerajaan mengumumkan PKP2.0 sekitar penghujung tahun lalu.
Tapi saya sangat bersyukur kerana apa yang dirancang, dapat dilaksanakan pada hari ini.Kamu dan Reka Teemor bersetuju untuk menggunakan rona putih sebagai satu-satunya warna dalam majlis ini.
2 - Berapakah hantaran yang diterima dan dipulangkan serta mas kahwin yang dihadiahkan daripada pihak lelaki?
Hantaran kami memberi hanya yang wajib. Bagaimanapun, untuk mas kahwin, saya menerima sebentuk cincin daripada pihak lelaki.
3 - Peminat memang menantikan hari bahagia Lofa. Boleh kongsikan sikit tentang bagaimana detik perkenalan antara Lofa dengan suami dan bila Lofa mula merasakan Haris adalah orangnya.
Sejujurnya, saya mula mengenali Haris pada tahun 2017. Sekitar bulan Jun kalau tak salah. Kemudian pada 2018, saya bekerjasama buat kali yang pertama dengannya untuk sebuah projek.
Selepas kolaborasi tersebut, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian. Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing.
Dia merupakan seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa. Dia juga merupakan seorang pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran atau masalah.
4 - Selepas mendirikan masjid, bagaimanakah dengan karier Lofa sebagai usahawan? Berjalan seperti biasa atau Lofa mengambil keputusan untuk berehat sementara?
Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berehat sementara kerana banyak hal bisnes yang perlukan pemantauan saya walaupun selepas majlis berlangsung. Selain beberapa produk baharu yang dilancarkan di bawah jenama minuman Nilofa, koleksi raya Naelofar juga baru sahaja dilancarkan. Memang agak sibuk, tetapi saya cuba untuk membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga.
5 - Lofa kini memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Bagaimana Lofa mempersiapkan diri ke arah itu? Banyak membaca atau banyak bertanya pada ibu?
Betul, selain banyak membaca, saya juga kerap bertanya dengan ibu dan rakan-rakan terdekat, banyak nasihat yang diberikan dan insya-Allah, saya akan jadikan nasihat tersebut sebagai panduan. Dalam masa yang sama, saya juga berkesempatan menghadiri kelaskelas khusus yang memfokuskan kepada persediaan memasuki alam rumah tangga.
6 - Haris dan Lofa telah menubuhkan Markaz Tijaari sebelum ini. Adakah akan ada kolaborasi lain antara kalian berdua pada masa depan?
Untuk kolaborasi projek, kami fokuskan Markaz Tijaari terlebih dahulu. Selain itu, untuk pelan jangka masa panjang pula, kami juga merancang untuk memperkenalkan produkproduk lain di bawah jenama tersebut, insya-Allah.
7 - Adakah Lofa meletakkan harapan untuk menerima zuriat pada masa terdekat?
Seperti mana jodoh, perihal zuriat juga saya serahkan kepada aturan Yang Maha Esa. Jika diberikan rezeki dalam masa terdekat, saya terima dengan tangan terbuka.
8 – Apakah harapan Neelofa terhadap perkahwinan ini?
Semoga Allah SWT sentiasa memberikan rahmat kepada keluarga kecil yang baru sahaja kami bina, dan semoga setiap rahmat itu dapat memupuk hubungan kami sebagai pasangan suami isteri. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya dan juga suami.
Must-Watch Video