Berita
Pertama Kali Bergandingan, Comel Juga Nabila Razali & Aiman Hakim Dalam Biar Mereka Cemburu
Sebuah lagi drama baharu sedang hangat mengisi slot Megadrama di saluran Astro Ria (104) pukul 10 malam.
Berjudul Biar Mereka Cemburu, drama dengan genre komedi romantik ini mengisahkan tentang Tengku Eidil yang merupakan pengarah kreatif di sebuah syarikat pengiklanan terkemuka dan sedang bercinta dengan Marsha Gordon.
Namun, detik hatinya untuk berubah ke arah ukhrawi membawanya jauh dari rancangan untuk berkahwin dengan Marsha. Nadia ialah seorang penghantar makanan untuk sebuah kedai makan yang dimiliki oleh kawan baiknya, Rostam.
Dalam masa yang sama, Nadia turut menyimpan hasrat untuk bergelar jurufoto profesional.
Takdir menemukan mereka berdua apabila pada suatu petang semasa sedang menghantar makanan, Nadia berhenti di tepi jalan dan Eidil terlanggar lopak air lalu menyebabkan ia terkena pada Nadia tanpa sengaja.
Nadia yang degil dan ceria pada luarannya sebenarnya menyimpan beban dan kesedihan yang hanya mampu dipendam kerana tertekan dengan kesibukan kerja demi mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarganya di kampung semenjak bapanya dipenjarakan angkara Nadia sendiri.
Okay, apa sahaja trivia menarik dalam drama ini ya? Check this out supaya bila korang menonton, boleh 'menyelam' sekali bersama para pemainnya.
1. Drama Biar Mereka Cemburu merupakan drama pertama yang menggandingkan Aiman Hakim Ridza dan Nabila Razali selaku teraju utama.
2. Setelah tiga kali berturut-turut menyiarkan drama berat, slot Megadrama di saluran Astro Ria kembali membawakan drama ringan yang mengangkat genre komedi romantik menerusi Biar Mereka Cemburu. Sebelum ini, drama Pelindung Seorang Puteri, Bidadari Kiriman Tuhan dan Perempuan Tanpa Dosa telah ditayangkan menerusi slot yang sama.
3. Drama Biar Mereka Cemburu merupakan drama pertama lakonan Aiman Hakim Ridza selepas menamatkan zaman bujangnya bersama pelakon jelita, Zahirah MacWilson.
4. Drama ini juga merupakan drama terakhir lakonan Aiman Hakim Ridza sebelum berlepas ke Perth bersama isterinya untuk menyambut kelahiran anak sulung mereka di sana.
5. Jika mengikut novel asal, watak Nadia yang dilakonkan oleh Nabila Razali merupakan seorang gadis yang bekerja sebagai konduktor bas. Oleh kerana kerjaya tersebut tidak lagi wujud pada zaman sekarang, watak tersebut terpaksa ditukarkan kepada penghantar makanan kerana dilihat lebih bersesuaian dengan jalan penceritaan dalam drama Biar Mereka Cemburu.
Must-Watch Video