Juara Gegar Vaganza 2019, Naqiu tidak menyangka lamaran Nabil Ahmad ketika di dalam tandas untuk membintangi filem arahannya benar-benar menjadi realiti.

Kata Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 35, lebih mengharukan apabila dia turut diangkat terus sebagai hero filem Mat Bond Malaya.

"Seingat saya ketika itu kami masih dalam program Gegar Vaganza beberapa tahun lalu, kemudian Nabil menawarkan saya untuk berlakon filem arahannya.

"Kata dia Tok Ram (Datuk Ramli MS) pun ada berlakon. Nak dijadikan cerita ketika itu pun Tok Ram ada sekali, dia offer depan tok guru saya. Katanya Tok Ram yang serius tu pun boleh berlakon jadi kelakar.

"Saya tak pernah terfikir pun nak berlakon filem apatah lagi menjadi hero, jadi saya sahut cabaran itu dan saya bersyukur dibimbing oleh Nabil dengan baik sekali. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar sesuatu," katanya pada sesi virtual sidang media Mat Bond Malaya baru-baru ini.

Sebagai orang baharu dalam bidang lakonan, Naqiu enggan mengambil peluang yang diberi sambil lewa.

"Saya nak belajar dan nak melakonkan watak yang memberikan impak. Saya sendiri sebenarnya mengagumi Nabil, semua benda dia boleh buat, apa saja yang dia tak boleh?

"Cabaran ini sesuatu yang baharu bagi saya, di sini saya baru mengenal apa itu watak dan karakter. Lucu, tapi ketika dalam set Nabil seorang yang serius bekerja dan memang tahu apa yang dia mahukan," ujarnya.

Mat Bond Malaya merupakan filem pertama lakonan Naqiu dan filem sulung arahan Nabil Ahmad.

Lebih menarik, filem aksi komedi ala-ala penyiasatan itu turut menampilkan penyanyi dan pelakon cantik, Elizabeth Tan.

Mat Bond Malaya mengisahkan seorang lelaki biasa bernama Mat berangan-angan ingin menjadi seorang agen perisik di tempatnya bekerja iaitu di bangunan M6 tetapi selalu sahaja tidak kesampaian.

Suatu hari dunia telah digemparkan dengan serangan virus zombie. Ramai yang telah terkena virus tersebut termasuklah agen-agen di bangunan M6 serta wanita pujaan hati Mat iaitu Bondi.

Mat tiada pilihan melainkan dia perlu untuk mencari penawar bagi menyelamatkan semua orang sebelum virus tersebut merebak ke seluruh dunia.

Saksikan filem Mat Bond Malaya yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 20 Julai 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook,Twitter Astro Shaw.