“Beritahu dia, tak perlu masuk campur." Demikian reaksi pelakon, Datuk Aaron Aziz kepada ciapan pelakon, Sharnaaz Ahmad yang memberi komen mengenai sikap profesional sebagai pelakon dan sokongan penuhnya kepada pengarah, Syamsul Yusof.

Aaron ketika ditemui di majlis pelancaran rasmi dan jualan promosi pembukaan Jakel Shah Alam menegaskan supaya individu yang tidak terbabit dengan produksi filem The Original Gangster tidak masuk campur dan berikan sebarang kenyataan.

"Kepada pelakon atau individu yang tak terlibat dalam produksi, kamu jangan masuk campur atau beri apa-apa kenyataan," katanya.

Aaron bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana menghormati permintaan isterinya, Datin Diyana Halik.

"Isteri saya minta supaya saya tak berikan apa-apa kenyataan lagi. Mungkin isteri saya tahu, perangai saya bagaimana," katanya.

Ditanya bagaimana solusi terbaik untuk menyelesaikan kemelut antaranya dengan Syamsul, Aaron meminta pengarah dan pelakon itu meminta maaf daripada ibu bapanya.

"Tak ada sebarang konfrontasi. Saya cakap secara umum, minta maaf kepada mak dan ayah (Datin Patimah Ismail dan Datuk Yusof Haslam) dulu," katanya.

Terdahulu, Sharnaaz memuat naik ciapan balas kepada pertanyaan cadangan netizen, yang menyarankan agar dia dan pelakon Beto Kusyairy menarik diri daripada filem The Original Gangster itu.

Sumber: Harian Metro