Laman Utama
Pilu, Bapa Meraung Selepas Bergelut Tak Dapat Selamatkan Anak Usia Setahun Dibaham Buaya, Pihak Bomba Lancar Operasi Mencari
Ngeri dan memilukan apabila tular di media sosial potongan video yang menunjukkan seorang kanak-kanak sedang dibaham buaya.
Kejadian berlaku di Lahad Datu Sabah itu berlaku ketika anak yang baru berusia setahun itu bersama bapanya mendayung di perairan Pangkalan Marin.
Sebuah lagi video pula tular menunjukkan bapanya sedang meraung kesedihan mengenang nasib anaknya yang tak dapat diselamatkan.
Advertisement
Dalam video berkenaan, bapanya juga dilihat turut tercedera dengan luka dan berdarah di bahagian kepala dan bahu.
Difahamkan, ketika kejadian yang mencemaskan itu sedang berlaku, si bapa cuba bergelut dengan reptilia berkenaan untuk menyelamatkan anaknya daripada menjadi mangsa ‘ratah’ buaya.
Malangnya, dia tewas bertindak sedemikian, sebaliknya mengalami kesan gigitan buaya sehingga menampakkan warna merah isi dagingnya.
Menurut laporan Awani, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.25 pagi semalam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Terdapat dua mangsa yang terlibat iaitu seorang lelaki Palauh dan kanak-kanak lelaki dipercayai diserang buaya ketika mendayung sampan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, lelaki terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, manakala anaknya pula masih hilang dipercayai dibaham buaya.
“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu menaiki ambulan untuk menerima rawatan susulan.
“Pasukan bomba masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi lain di sekitar perairan lokasi kejadian,” katanya.
Must-Watch Video