Nusantara
#PMTepiKakGee; Baru Kena Buang Kerja, Isteri Sedih Perlu Sara Suami Yang Kurang Berusaha
SOALAN
Salam Kak Gee, apa khabar... Saya sudah berkahwin dah masuk 6 tahun, selama 6 tahun saya berkerja, tapi suami saya selalu bertukar kerja.
Sekarang saya baru lepas kena buang kerja, dan suami ada juga cari income dengan menjual barang barang mainan.
Tapi dia sebenarnya memang pandai sangat masak. Bila saya cadang mulakan meniaga memasak, tapi dia kata tak ada modal untuk buat. Saya tak tahu nak cakap macam mana sebab kadang kadang bila dia tak ada duit saya perlu beri.
Kadang kadang saya rasa saya macam tak bahagia. Satu lagi dia selalu tak pentingkan apa yang patut didahulukan seperti bayar bil elektrik dan membeli barang keperluan rumah dan dapur. Saya sedih, apa patut saya buat.
Yang Benar,
Pretty Q
JAWAPAN
Hi Pretty Q, Alhamdulillah, Kak Gee sihat. Kak Gee harap anda juga berada dalam keadaan sihat.
Sebagai seorang yang sudah agak lama berumah tangga, Kak Gee rasa anda seorang yang penyabar dan isteri yang baik buat suami anda. Syabas Kak Gee ucapkan untuk terus bertahan, sabar dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik.
Cuma sebagai seorang manusia, individu dan isteri, anda juga punya hak bersuara dan menegur suami dalam menjadikan rumah tangga lebih baik dan harmoni.
Teruskan memberi semangat buat suami memasak atau mencuba resipi baharu dan kemudian bantu dirinya menjual tanpa mengeluarkan modal yang banyak.
Memasak biar kreatif dan enak, kemudian gunakan platform media sosial untuk mempromosikannya tanpa mengeluarkan kos pun! Teruskan memberi semangat kepadanya.
Satu lagi seperti yang selalu Kak Gee sarankan, berkomunikasilah dengan baik, dan hati ke hati. Mungkin selama enam tahun menikah, sebenarnya anda dan suami tidak banyak menjadi pasangan yang telus. Berkomunikasi memberitahu apa yang anda suka atau tidak kepada suami dan sebaliknya.
Tegurlah suami dengan cara yang lembut. Seharusnya dia memang wajib menjadi ketua keluarga yang lebih bertanggungjawab kerana itu adalah amanah yang harus dipikul sebaik bersetuju menjadi suami anda.
Jadi beritahu dan selalu ingatkan suami tentang bayaran dan keperluan rumah. Hidup berumah tangga memang perlu banyak toleransi, jika tidak bimbang karam sebelum berlabuh.
Pretty Q, Kak Gee doakan semoga anda kembali mendapat pekerjaan. Kak Gee juga doakan supaya suami lembut hati dan nampak segala pengorbanan anda dalam rumah tangga.
Selesaikan masalah secara berdepan dan terbuka. Juga, berlapang dada dengan ujian Allah sebab Dia sayang anda.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Must-Watch Video