Viral
#PMTepiKakGee: Pernah Cekik Isteri Kerana Kopi Cair, Suami Baran Ingin Berubah
SOALAN
Assalamualaikum Kak Gee. Saya tidak pandai menulis panjang lebar. Saya terjumpa sesi #PMTepiKakGee ni selepas pinjam handphone isteri saya sebab dia salah satu pengikut Gempak.com.
Saya cuma mahu minta bantuan Kak Gee. Saya seorang suami berusia lingkungan 45 tahun dan punya empat orang anak dan telah lebih 17 tahun berkahwin. Boleh panggil saya Suami Baran sebab sejujurnya saya memang seorang yang panas baran.
Masalah panas baran saya sukar berubah apa lagi apabila perlu mengikut saranan kerajaan melakukan PKP. Ini kerana apabila terlalu lama di rumah, saya mula mencari banyak salah isteri dan melepaskan baran kepadanya.
Untuk pengetahuan Kak Gee, saya pernah mencekik isteri hanya sebab dia membuat kopi terlalu cair sewaktu fasa PKP 1 yang lalu.
Saya sebenarnya ingin berubah tapi situasi sekarang dengan pekerjaan dan pendapatan tiada (saya bekerja sendiri), walaupun saya cuba untuk mengawal sikap, pasti terlepas.
Saya sayangkan isteri dan keluarga saya. Bantu saya Kak Gee, saya mahu juga jadi keluarga harmoni dan berasa bahagia sebab dapat luangkan lebih banyak masa sepanjang PKP ini.
Terima kasih.
Yang Benar,
Suami Baran
JAWAPAN
Waalaikummusalam Suami Baran. Sejujurnya membaca masalah anda membuat Kak Gee perempuan yang lemah ini pun seram. Tak terbayang Kak Gee nanti bila berkahwin dapat suami baran.
Tapi Kak Gee nak anda, Suami Baran tahu, Kak Gee di sini tidak 'bertugas' sebagai pengkritik apa lagi menilai sikap setiap orang yang berkongsi permasalahan mereka di #PMTepiKakGee.
Memahami masalah Suami Baran, apa yang Kak Gee boleh katakan, anda memerlukan semangat dan keinginan yang betul betul besar untuk berubah. Jika tidak, semua yang anda luahkan ini mungkin tak akan menjadi positif.
Kak Gee bukan nak buka kelas tarbiah, tapi untuk kes ini, Kak Gee sarankan Suami Baran dekatkan lebih banyak masa dengan Allah. Gunakan waktu PKP dan bulan mulia Ramadan ini dengan berdoa meminta kepada Allah dengan sesungguhnya agar sikap anda berubah menjadi lebih baik.
Setiap kali rasa marah atau perasaan baran membuak, lekas lekaslah ambil wuduk atau beredar dari tempat kejadian. Jangan melakukan tindakan kurang cerdik saat perasaan marah menguasai diri.
Suami Baran kata sayang isteri dan anak anak bukan? Jadi kena kuatkan semangat dan berubahlah. Bayangkan kalau isteri anda membuat laporan polis kerana sudah tidak tahan dengan sikap baran anda? Bukankah kelak menjadi semakin rumit nanti.
Keduanya, Kak Gee sarankan anda mendapatkan khidmat kaunseling atau nasihat dari pakar. Jangan malu kerana mendapatkan khidmat pakar seperti ini bukan bermakna anda ada penyakit mental, tetapi ia untuk kebaikan anda juga.
Sekarang ini lebih mudah, anda hanya perlu menelefon nombor perkhidmatan yang diberikan dan luahkan masalah anda dengan saluran yang betul.
Mendapatkan khidmat dari pakar adalah salah satu alternatif yang baik untuk membantu kita sedar bahawa banyak tindakan yang kita lakukan memang tak masuk akal.
Anda juga bukan sahaja akan mendapatkan nasihat yang betul, tetapi melalui pakar seperti psikatari, anda juga akan lebih memahami diri dan permasalahan sendiri.
Kak Gee tumpang simpati dengan sikap dan penyesalan anda. Dan Kak Gee juga mendoakan agar anda dapat mengawal sikap panas baran sehingga nanti isteri atau anak anak menjadi mangsa yang lebih teruk.
Kawal diri ya Suami Panas Baran, lakukanlah usaha ini sebelum terlambat. Kak Gee doakan yang baik baik untuk anda sekeluarga.
Terima kasih kerana telah mempercayai dan mendapatkan nasihat daripada Kak Gee.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Itu permasalahan Suami Panas Baran, bagaimana pula dengan keluarga Narendra? Jangan lupa saksikan Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (NKCTHI) bermula 23 April di Astro First saluran 480 dan On Demand.
NKCTHI menceritakan tentang kehidupan keluarga Narendra yang mempunyai tiga orang anak iaitu Angkasa, Aurora dan Awan.
Filem popular Indonesia ini menyaksikan gabungan kerjasama Astro Shaw bersama penerbit yang sering memenangi anugerah utama di Indonesia, Visinema Pictures yang juga merupakan penerbit filem animasi terkenal Indonesia, NUSSA, bersama IDN Media, Blibli.com serta XRM Media.
Apapun, jangan lupa untuk menyaksikan NKCTHI di Astro First saluran 480 dan On Demand bermula 23 April.
Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem NKCTHI, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Must-Watch Video