Sekilas
- Elakkan duduk terlalu lama tanpa bergerak dan perhatikan postur ketika menggunakan telefon untuk kurangkan ketegangan badan.
- Jangan abaikan sakit yang kerap berulang dan dapatkan pemeriksaan perubatan jika perlu untuk kenal pasti punca sebenar.
- Mulakan penjagaan badan secara berperingkat dengan bina kekuatan dan fahami keperluan badan sendiri sebelum memilih rawatan.
Pernah tak bangun pagi tetapi badan masih terasa lenguh? Belum sempat memulakan kerja, leher sudah tegang dan bahagian belakang pula mula terasa tidak selesa.
Bagi mereka yang menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer atau terlalu leka menatal telefon pintar, keadaan ini mungkin bukan sesuatu yang asing.
Dalam kesibukan mengejar tarikh akhir kerja, menguruskan keluarga dan menyelesaikan pelbagai urusan harian, penjagaan badan sering menjadi perkara terakhir yang difikirkan.
Sedangkan, keselesaan fizikal memainkan peranan penting untuk memastikan kita dapat bekerja, berehat dan menikmati kehidupan dengan lebih baik.
Jadi, apa kata mula berikan sedikit perhatian kepada tubuh sendiri menerusi lima langkah berikut?
1. Jangan Duduk Terlalu Lama Tanpa Bergerak
Tidak kira bekerja di pejabat atau dari rumah, cuba elakkan duduk dalam posisi sama terlalu lama.
Bangun dan berjalan seketika, lakukan pergerakan ringan atau tukar posisi secara berkala bagi mengurangkan kekakuan badan.
Tidak perlu menunggu sehingga belakang mula sakit untuk bergerak. Jadikan pergerakan kecil sebagai sebahagian daripada rutin kerja.
2. Perhatikan Postur Ketika Menggunakan Telefon
Tanpa sedar, ramai yang gemar menundukkan kepala terlalu lama ketika menatal media sosial, membalas mesej atau menonton video.
Cuba angkat telefon ke paras yang lebih selesa, rehatkan leher dari semasa ke semasa dan elakkan mengekalkan posisi yang sama terlalu lama.
Perubahan kecil ini boleh membantu mengurangkan ketegangan yang berkaitan dengan penggunaan telefon secara berpanjangan.
3. Jangan Abaikan Sakit Yang Kerap Berulang
Rasa lenguh sekali-sekala mungkin berlaku selepas melakukan aktiviti tertentu. Namun, kesakitan yang berulang atau semakin mengganggu pergerakan tidak sepatutnya dianggap perkara biasa.
Lebih-lebih lagi jika sakit belakang disertai kebas, rasa mencucuk-cucuk atau kelemahan pada kaki.
Dapatkan pemeriksaan perubatan untuk mengenal pasti punca sebenar sebelum mencuba sebarang kaedah penjagaan atau rawatan.

4. Bina Kekuatan Badan Secara Berperingkat
Menjaga badan bukan hanya tentang mendapatkan kelegaan apabila sakit, tetapi juga membina kekuatan dan mengekalkan keupayaan bergerak.
Aktiviti seperti berjalan, senaman mobiliti dan latihan kekuatan yang sesuai dengan tahap kecergasan boleh dijadikan sebahagian daripada gaya hidup.
Mulakan secara perlahan dan pilih aktiviti mengikut kemampuan serta keadaan kesihatan masing-masing.
5. Kenali Keperluan Badan Sendiri
Apa yang sesuai untuk orang lain belum tentu sesuai untuk kita.
Setiap individu mempunyai sejarah kesihatan, tahap kecergasan dan keperluan fizikal yang berbeza. Oleh itu, penting untuk memahami keadaan badan sebelum memilih sebarang pendekatan penjagaan.

Perkara ini turut ditekankan oleh Pengasas MMW Bone Alignment Centre, Prof Is Dr Grandmaster Max Wong yang menjelaskan bahawa kesakitan yang kelihatan sama tidak semestinya mempunyai punca serupa.
“Profesionalisme sebenar ialah menggunakan teknik yang tepat kepada individu yang tepat. Kesakitan yang kelihatan serupa tidak semestinya berpunca daripada masalah yang sama.
“Oleh itu, setiap pelan penjagaan perlu bermula dengan pemahaman terhadap keadaan individu berkenaan,” katanya.
Seiring dengan pendekatan itu, MMW memperkenalkan konsep penjagaan badan 5R iaitu Release, Realign, Restore, Rebuild dan Recover yang menekankan pengurusan ketidakselesaan, perhatian terhadap postur, fungsi pergerakan, pembinaan kekuatan dan usaha kembali menjalani aktiviti harian.
Menurut MMW, pendekatan penjagaan manual bukan invasif yang ditawarkan perlu disesuaikan dengan keadaan individu dan tidak semestinya sesuai untuk semua orang.
Dalam masa sama, Max mengingatkan masyarakat agar tidak hanya memberikan perhatian kepada kesihatan apabila mula mengalami kesakitan.
“Ilmu perlu dikumpulkan, perniagaan perlu diusahakan, keluarga perlu dijaga dan kesihatan juga memerlukan perhatian yang berterusan.
“Kami berharap orang ramai bukan sahaja mencari bantuan apabila kesakitan berlaku, tetapi turut mula memberikan perhatian yang lebih serius kepada pengurusan badan dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Apa pun, menjaga kesihatan badan tidak semestinya memerlukan perubahan besar dalam satu malam.
Mulakan dengan tabiat kecil, lebih peka terhadap keselesaan fizikal dan dapatkan nasihat profesional apabila diperlukan.
Kerana dalam kesibukan menjaga kerja, keluarga dan pelbagai komitmen lain, tubuh sendiri juga memerlukan perhatian.