Gaya Hidup
#PMTepiKakGee: "Rasa Penat & Marah, Macam Nak Bunuh Diri Pun Ada, Tapi..." - Gadis Ini Tertekan Dengan Abang-Abang Pemalas!
SOALAN:
Kak Gee, saya Liza, anak terakhir dari tiga adik beradik. Saya merupakan anak perempuan tunggal dan ada dua orang abang.
Mak saya sudah bercerai dengan bapa saya dan dia kini tinggal bersama keluarga barunya di utara tanah air.
Kini, saya dan dua orang abang saya berada di rumah bapa kami semenjak PKP bermula.
Masalah ni bermula semenjak PKP sebenarnya. Saya rasa nak terputus nyawa sebab ada dua orang abang yang pemalas.
Pemalas yang tak tahu saya nak ungkap, memang pemalas gila agaknya.
Semenjak PKP, bapa saya memang tiada di rumah kerana dia bekerja seperti biasa memandangkan dia merupakan seorang frontliners.
Tinggallah saya bertiga dengan dua orang abang yang super malas.
Semenjak PKP bermula, mereka bangun tengah hari dan bangun-bangun je, mereka akan makan apa yang saya masak.
Saya memang masak setiap hari kerana bapa saya memang makan di rumah, alang-alang itu saya masakkan untuk abang-abang saya.
Bukan nak berkira tapi tak ada pertolongan langsung. Lepas makan, biarkan je pinggan kat dalam singki.
Siapa yang basuh, saya jugak!
Alasan mereka senang, sebab saya sorang je anak perempuan dalam keluarga, jadi saya yang kena kemas!
Saya memang sering berperang mulut dengan dua abang saya tetapi nampaknya keberkesanan itu hanya sementara sahaja.
Lepas dua hari, mereka buat perangai balik!
Itu belum lagi dengan suasana bilik mereka yang busuk, baju lepas pakai letak merata, seluar dalam pun bersepah, semua saya ambil dan cucikan!
Mereka suka buli saya Kak Gee!
Kadang-kadang saya rasa tertekan sangat, saya rasa sangat penat dan marah, rasa nak bunuh diri pun ada tapi saya cepat-cepat beristighfar.
Alhamdulillah, saya masih waras dan takkan buat benda sebegitu tapi sejujurnya, saya memang tertekan.
Apa nak buat ni Kak Gee? Geram betul ada abang-abang pemalas ni!
JAWAPAN:
Salam Liza, terima kasih kerana menghubungi Kak Gee.
Alhamdulillah, Liza masih waras kerana mematikan niat untuk membunuh diri.
Walau sebesar mana masalah pun, jangan sesekali pernah terfikir untuk melakukan perkara terkutuk terbabit kerana ia haram disisi agama kita!
Bagi Kak Gee, Liza harus berbincang dengan bapa Liza tentang masalah ini.
Abang-abang Liza ni nampaknya degil... Kalau rebung masih boleh dilentur, tapi abang-abang Liza ni Kak Gee boleh ibaratkan sebagai buluh!
Bincang dengan bapa Liza, cari jalan penyelesaian yang sebetulnya.
Selepas berbincang dengan bapa Liza, panggil abang-abang Liza yang lain dan berbincanglah sesama keluarga.
Mungkin jika abang-abang Liza buat perangai, mereka boleh dikenakan hukuman denda.
Sebagai contoh, satu kesalahan boleh didenda RM1 dan semuanya boleh dimasukkan ke dalam tabung untuk kegunaan Liza.
Semua masalah ada jalan solusinya, Kak Gee rasa jika betul cara untuk menanganinya, pasti kata sepakat dapat dicapai.
Apa yang penting, Liza selalu bersabar dan jangan stress ya!
---
Itu kisah Liza, bagaimana pula dengan kisah seorang ustaz yang berperang dengan kisah lampau?
Jangan lupa saksikan Ada Apa Dengan Dosa yang mengangkat kisah seorang ustaz menghadapi dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah.
Lebih menakutkan, anak itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.
Filem terbitan Pencil Pictures & Records itu dibintangi pelakon, Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.
Ada Apa Dengan Dosa akan ditayangkan di saluran Astro First bermula 4 Jun ini.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Must-Watch Video