Laman Utama

Pohon Doa Ramai, Pengurus Sahkan Rohana Jalil Hanya Bergantung Pada 2 Alat Bantuan- "Jantungnya Boleh Berhenti Pada Bila-Bila Masa..."

gempak
Syafiqah Jalal
20/06/2023
16:10 MYT
Sponsor Banner
Pohon Doa Ramai, Pengurus Sahkan Rohana Jalil Hanya Bergantung Pada 2 Alat Bantuan- "Jantungnya Boleh Berhenti Pada Bila-Bila Masa..."
Pengurus Rohana Jalil yang dikenali dengan gelaran Jepun mengesahkan penyanyi era 80-an itu yang terlantar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak tiga bulan lalu akibat kebocoran usus berada dalam keadaan lemah tetapi masih stabil.
Ketika dihubungi Gempak, Rohana, 68, yang berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) itu hanya bergantung pada dua alat bantuan kesihatan.
"Sekarang ni Rohana berada dalam keadaan yang lemah dan hanya bergantung pada mesin oksigen dan bantuan morfin. Namun doktor sahkan dia masih stabil.
"Dia pun menggunakan alat tiub susu selama ini sebagai bekalan makanannya kerana tidak boleh mengambil apa-apa makanan pepejal yang lain buat masa ini," katanya.
Rohana yang popular dengan lagu Rayuanku itu dijaga rapi oleh suami dan tiga orang anaknya termasuk penyanyi Kilafairy di hospital secara bergilir.
Berkongsi lanjut mengenai perkembangan kesihatan Rohana, Jepun memberitahu kuman yang menyebabkan kebocoran usus yang dialami boleh merebak dan memberi kesan pada jantungnya.
"Kebocoran usus dialami menyebabkan kuman sudah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.
"Doktor kata ada potensi untuk jantungnya berhenti pada bila-bila masa berikutan kuman sudah merebak, ia juga disebabkan faktor usia," kongsinya.
Justeru, Jepun memberitahu doktor menasihatkan supaya semua ahli keluarga tidak meninggalkannya sendirian.
Malah pengurusnya meminta agar rakan terdekatnya yang ingin melawati hadir untuk memberi sokongan moral.
"Sekarang ni memang ahli keluarganya semua sentiasa berada di sisinya untuk menjaga dan menemaninya.
"Rohana masih boleh bercakap meskipun agak lemah serta masih ingat dengan sesiapa yang datang melawatnya.
"Jadi saya minta jika rakan-rakannta hendak melawat bolehlah datang beri sokongan moral serta mendoakan kesihatannya," ujarnya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live