Polis Ada Hak Periksa Telefon Bimbit Orang Awam Jika Mengesyaki Seseorang Melakukan Kesalahan
Polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau mendapat maklumat seseorang dipercayai melakukan kesalahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia termaktub mengikut Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang.
Menurutnya, perkara itu dibenarkan berdasarkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
"Dalam akta ini, Seksyen 249 AKM memberi kuasa untuk mendapatkan akses kepada data berkomputer termasuklah telefon bimbit.
"Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa untuk mengakses telefon bimbit yang ditakrifkan juga sebagai data berkomputer ketika membuat pemeriksaan ke atas seseorang yang disyaki melakukan apa jua kesalahan jenayah.
Beliau berkata demikian mengulas video tular seorang individu mempertikai tindakan polis menahan seseorang dan memeriksa telefon bimbit.
Razarudin berkata, dalam undang-undang lain, Seksyen 20(g) Akta Polis memberi kuasa pegawai polis untuk seseorang mempamerkan maklumat apabila diminta oleh pegawai berkenaan.
"Justeru tiada pihak boleh mempertikaikan kuasa memeriksa telefon bimbit ketika sekatan jalan raya, namun ia mesti dibuat dengan berhemah dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan bukan sesuka hati tanpa sebab yang munasabah.
"Selain itu, Seksyen 292 Kanun keseksaan boleh digunakan ketika memeriksa telefon bimbit sekiranya ketika pemeriksaan menjumpai bahan-bahan lucah dan ia suatu kesalahan boleh tangkap tanpa waran.
"Begitu juga jika terdapat aplikasi judi atas talian di dalam telefon bimbit seseorang. Ia juga satu kesalahan jenayah yang boleh ditangkap tanpa waran mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan tanpa waran boleh dilakukan sekiranya pegawai itu mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa kelewatan dalam memperoleh waran geledah akan menjejaskan penyiasatan seperti bukti dirosakkan atau dimusnahkan pemiliknya.
"Dalam kes sedemikian, polis boleh mengambil telefon terbabit terlebih dulu untuk diperiksa dan keengganan memberi kerjasama boleh menyebabkan seseorang itu ditahan kerana menghalang tugas polis.
"Telefon bimbit yang diambil daripada orang awam harus bertujuan siasatan yang relevan sesuatu kes yang disiasat atau mensyaki sesuatu kesalahan dilakukan oleh seseorang," katanya.
Katanya, polis berhak memeriksa telefon bimbit seseorang jika ada laporan polis dibuat terhadapnya atau jika ada siasatan dijalankan atau jika polis mengesyaki orang itu terbabit dalam perlakuan jenayah selari dengan Seksyen 3(3) Akta Polis berkaitan peranan dan tanggungjawab polis.
Sumber: Harian Metro