BERITA
Polis Dedah Ramai Pengasas Produk, Pempengaruh Kelantan Edar Dadah, Ubah Wang Haram
Polis Kelantan mendedahkan, ramai pengasas produk dan pempengaruh di Kelantan dikesan terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ia berdasarkan beberapa tangkapan yang dilakukan sebelum ini.
Katanya, kebanyakan mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah.
"Kes pertama membabitkan tangkapan pengasas produk bersama dadah bernilai RM5 juta pada 2020. Bisnes nampak berjaya, namun sebenarnya menjadi topeng kepada kegiatan haram.
“Kes kedua pula pada 2021 membabitkan tangkapan usahawan kosmetik bergelar Datin atas kesalahan mengedar dadah. Mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan jenayah.
"Kes ketiga pula berkaitan sindiket dadah dikuasai ahli perniagaan di Kelantan sebagaimana dilaporkan pihak media pada tahun lalu.
"Polis mengesan ahli perniagaan yang menjadi dalang sindiket dadah di negeri ini, mereka cuci duit haram melalui perniagaan dan guna individu lain untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya menerusi TikTok.
Mohd Yusoff turut memberi amaran kepada pihak berkenaan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka dikesan terbabit dalam kegiatan dadah.
"Undang-undang tidak mengenal pangkat atau gelaran, jika terlibat, tindakan tegas akan diambil.
"Ini amaran kami di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan anak muda dan influencer yang terbabit dengan jualan dadah," katanya.
Sumber: BERITA HARIAN
Must-Watch Video