Filem aksi hebat terbitan Astro Shaw, Polis Evo 3 kini sudah mula ditayangkan di platform penstriman popular, Netflix.

Naskhah yang mengangkat kisah kepolisian itu sebelum ini telah berjaya meraih RM54 juta selepas hampir dua bulan ditayangkan di seluruh Malaysia.



Susulan kejayaan tersebut telah mengukuhkan lagi jenama Polis Evo sebagai francais nombor satu negara dengan kutipan tertinggi.

Filem arahan Syafiq Yusof ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan dan Eyka Farhana.

Polis Evo 3 mengisahkan Inspektor Khai lakonan Sam dan Inspektor Sani (Zizan) kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani (Syafiq Kyle), Inspektor Julie (Farali Khan) dan Inspektor Dell (Douglas Lim) yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Fakhri, Naim & Kahar Kembali ‘Gegarkan’ KUDRAT

Selain Polis Evo 3, Projek: High Council (PHC) yang hangat diperkatakan pada tahun lalu turut boleh distrim menerusi Netflix.

Masih mengekalkan jalan cerita yang sama, penonton bakal dibawa untuk menelusuri kisah dua beradik, Fakhri lakonan Mierul Aiman dan Naim (Nadhir Nasar) yang terpaksa berdepan dengan pelbagai konflik di kolej tempat mereka menuntut, termasuk sebuah pertandingan tradisi yang dipanggil Pilihanraya.



Konflik tersebut juga menyebabkan pertelingkahan berlaku melibatkan sekelompok pelajar di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT) termasuk Kahar yang diberi status sebagai Ketua Asrama Pelajar Lelaki Atasan atau KAPLA.

Untuk rekod, drama bersiri terbitan Astro Shaw ini turut meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa, dengan Naim Daniel dipilih sebagai Pelakon Pembantu Terbaik menerusi watak Ayam di Anugerah ContentAsia 2023.

PHC juga tersenarai sebagai finalis top 5 Gempak Most Wanted Awards 2023 menerusi kategori Drama Trending Tergempak.

Selain itu, runut bunyinya, Kudrat nyanyi Sekumpulan Orang Gila dan Naim Daniel juga merupakan finalis top 5 bagi kategori Video Muzik Tergempak menerusi anugerah sama.

Polis Evo 3 dan Projek: High Council boleh distrim menerusi aplikasi Netflix di Astro Ultra & Ulti Box.