Polis akan memanggil penyanyi rap Caprice dan seorang wanita Indonesia dalam masa terdekat bagi membantu siasatan susulan laporan yang dibuat pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata tindakan itu akan dilakukan pihaknya setelah menerima arahan lanjut (OTI) bagi menyiasat kes berkenaan, hari ini.

Sasikala berkata polis setakat ini hanya menerima satu laporan yang dibuat Ebit di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya semalam.

Untuk (keterangan) Ebit Lew, kami sudah rakam percakapan beliau. Untuk (Caprice dan wanita Indonesia itu) kami mesti (dapatkan) sebab (mereka) saksi berkaitan kes, kita perlu rakam percakapannya.

"Kita akan lengkapkan siasatan berkenaan kes ini untuk dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan seterusnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Sasikala berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Media semalam melaporkan bahawa polis menerima laporan daripada Ebit yang mendakwa dirinya difitnah dalam sebuah video tular menerusi media sosial yang bertajuk "The Mondy Tattoo Interview".

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Mohd Fairus Jaafar berkata beliau mengesahkan laporan yang diterimanya daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun pada 2.17 pagi.
-- BERNAMA