,
Berita

Polis Siasat Suspek Culik Albertine Leo Mungkin Seorang Pedofilia, Didakwa 15 Pertuduhan Hari Ini

Gempak
08/08/2024
05:06 MYT
Siasatan polis terhadap kes penculikan kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, di Iskandar Puteri, bulan lalu kini tertumpu kemungkinan suspek merupakan pedofilia.

Siasatan diteruskan

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, siasatan diteruskan selepas penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di rumah suspek pada 4 Ogos lalu.
"Kita sudah dapat petunjuk baharu selepas 'sex toys' dan semua yang ditemukan itu, jadi siasatan akan menjurus ke arah itu.
"Kita harap dapat mengenal pasti motif sebenar (penculikan) dalam masa terdekat. Proses (siasatan) sedang berjalan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan kes itu masih berjalan walaupun sebelum ini suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan ditangkap semula selepas mendapat petunjuk baharu itu.
Kumar menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa ahli keluarga mangsa telah menarik semula laporan polis berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.
"Tiada laporan polis yang ditarik, kes ini sedang disiasat dan proses siasatan berjalan seperti biasa," ujarnya. Jelasnya, siasatan awal juga mendapati suspek bertindak seorang diri dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah.
Beliau berkata, tiada keperluan untuk kanak-kanak berkenaan menjalani pemeriksaan kesihatan semula kerana laporan perubatan dibuat sebelum ini mengesahkan kanak-kanak berkenaan selamat dan tidak diapa-apakan.
"Pemeriksaan kesihatan menyeluruh telah dibuat sebelum ini dan tiada kewajaran untuk diperiksa semula, bagaimanapun kanak-kanak itu sedikit trauma akibat kejadian berkenaan," jelasnya.
Selain itu, suspek juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Kulai pada Khamis.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lelaki berusia 31 tahun itu akan menghadapi 15 pertuduhan selepas dua kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan pertuduhan.
"Suspek akan menghadapi masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 346 Kanun Keseksaan, tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, empat pertuduhan mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, satu pertuduhan mengikut Seksyen 10 akta sama dan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(a)(ii) akta itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Ahad, suspek berusia 31 tahun itu ditahan semula bagi membantu siasatan kes penculikan Jia Hui ekoran penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi libatkan kanak-kanak.
Suspek ditahan reman selama enam hari bermula semalam sehingga 10 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan juga Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video