Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan berkenaan isu tular helikopter dari Kuala Lumpur yang mendarat di Padang Ipoh, Perak untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tindakan diambil berdasarkan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan rentas daerah dan negeri terhadap individu dan syarikat berkenaan.

“Siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342," katanya dalam sebuah kenyataan.

Terdahulu, polis mengesahkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh antara jam 9.55 hingga 10.15 pagi Jumaat dan maklumat sudah disalurkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh bagi siasatan lanjut.

"Selepas membuat semakan dengan pihak CAAM Ipoh, helikopter berkenaan didapati hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh namun tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh," katanya.

Terdahulu tular di media sosial helikopter berkenaan mendarat di Padang Ipoh semata-mata untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja dari sebuah restoran nasi kandar terkemuka di Bandaraya Ipoh.

Kehadiran helikopter berkenaan mengejutkan orang ramai apabila didapati terbang rendah sebelum mendarat di padang terbabit sekitar jam 9.55 pagi.