Polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video menunjukkan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak memakai pelitup muka, yang tular di media sosial, semalam.

Kejadian itu berlaku ketika beliau mengadakan sidang media selepas meninjau kemalangan tren di stesen transit aliran ringan (LRT) KLCC, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988

"Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Semua pihak yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat," katanya dalam sebuah kenyataan.

Katanya, kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai dijalankan.

"Orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kegagalan mematuhi SOP membolehkan tindakan tindakan diambil mengikut undang-undang dan peraturan berkuat kuasa," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.