Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas, Loqman Hamka di Kampung Kuala Kujan, Temerloh pada Khamis.

Menerusi laman sosial Instagram, pihak Istana Negara berkongsi beberapa keping foto operasi yang disertai oleh Sultan berjiwa rakyat serta anakandanya itu untuk tatapan umum.

“Menzahirkan keprihatinan terhadap rakyatnya, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang di Temerloh hari ini.



“Pemangku Raja Pahang KDYMM Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda dalam operasi ini,” tulis akaun terbabit.

Misi mencari dan menyelamat berlangsung selama 45 minit dimana operasi yang bermula pada pukul 3 petang itu menyaksikan Tuanku sempat bertemu dengan ibu bapa Loqman untuk melihat keadaan mereka.

Operasi ini turut disertai oleh YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah serta YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Meninjau ke ruangan komen, ramai wargamaya yang turut sama mendoakan agar mangsa lemas segera dijumpai.



Berkat doa Tuanku, mudahan Allah makbulkan doa Tuanku dan semua kita mudahan mangsa lemas segera dijumpai,” tulis seorang wargamaya.

Allahu, hilang kesedihan ibu bapa mangsa dengan kehadiran Agong yang kita kasihi. Daulat Tuanku,” komen seorang wargamaya.

Allahuakbar, semoga Allah melindungi Tuanku dan semua yang terlibat dalam operasi,” doa seorang wargamaya.

Semoga asbab KDYMM Tuanku mencemar duli, mudah-mudahan mangsa segera dijumpai,” kata seorang wargamaya lagi.

Pada kejadian 27 November lalu, mangsa lemas Loqman, 20, keluar melihat rawai ikan di sangkar ikan patin milik keluarga pada pukul 9.30 pagi.

Setengah jam kemudian ada penduduk kampung memaklumkan bot loqman hanyut tetapi dirinya tidak ditemui.


Kredit foto: Instagram Istana Negara