WATCH
Puas hati uji Mercedes-Benz GLC 200
Jika berbicara pasal kenderaan utilti sukan SUV, kenderaan segmen itu sebenarnya sesuai untuk digunakan di kawasan luar bandar dengan keadaan jalan lasak. Malah ia juga sesuai untuk kegunaan di kawasan ladang serte estet.
Sekarang keupayaan SUV bukan sahaja di laluan lasak, tetapi boleh digunakan di kawasan bandar yang kini menjadi trend masyarakat global.
Malah, SUV kini hadir dengan rekaan menarik dan tidak membosankan. Ia sekali gus menjadi tarikan semua pengeluar automotif global berlumba-lumba menghasilkan kereta segmen itu.
.jpg)
Seperti pengeluar automotif Jerman, Mercedes-Benz juga ada menawarkan segmen SUV dalam portfolio barisan kenderaan mereka seperti model GLC 200 yang dipandu uji oleh drebar.my baru-baru ini.
Jentera yang dijual pada harga RM289,000 termasuk GST itu, sebenarnya sebuah SUV yang cukup menarik jika dibandingkan SUV mewah lain.
Harganya itu adalah kurang RM37,000 berbanding GLC 250 4Matic, dan RM250,000 lebih murah berbanding GLC 43 4Matic yang mana sebuah jentera berprestasi.

Secara luarannya, ia memang tampak lasak dan nampak tinggi antara antara badan kenderaan dengan permukaan tanah.
Pada gerbang rodanya juga, ia dilengkapi kemasan hitam pada dapra sisi, selain pelindung di bawah bampar hadapan bersaluti krom. Pada masa sama tampak kemas dengan padanan rim 19 inci serta dibaluti tayar 235/55.
Jentera ini memiliki lampu utama LED Berprestasi Tinggi, tetapi ciri itu boleh dianggap berkurang berbanding GLC 250 selepas ketiadaan lampu bantuan adaptif lampu tinggi dan lenturan aktif.

Pada bahagian luaran, penulis cukup tertarik pada bahagian hadapan apabila jerijinya seolah-olah seperti bilah pedang yang di tengahnya pula diletak logo Mercedes-Benz.
Ketika mahu memasuki ruang dalamannya, penulis rasa sedikit kekurangan pada SUV ini. Ini kerana ia tidak mempunyai butang membuka kunci pada bahagian pintu. Jadi penulis perlu menekan butang kawalan jauh untuk membuka kuncinya.
Ruang kabin dikemaskan dengan warna coklat yang mana membaluti kerusi sekali gus menyalurkan suatu suasana berbeza. Begitu juga pada permukaan panel pintu dan papan pemuka turut diwarnakan warna coklat.

Kelengkapan standard lain yang ada pada GLC 200 seperti kamera undur untuk memudahkan memasuki parkir kerana ia sebuah jentera yang agak besar.
Ia juga dilengkapi sistem pengawal suhu automatik tiga zon Thermotronic, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan sokongan belakang, corong pendingin hawa di belakang, Parking Pilot dan Parktronic, pintu but bukaan elektrik serta penghadang cahaya matahari belakang.
Bercerita berhubung prestasinya, ia dijana dengen enjin empat silinder petrol 2.0 liter M274 DE 20 bersama padanan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan.

Rangkaian kuasa itu sama seperti GLC 250, tetapi outputnya sedikit berkurang dengan menyalurkan 184hp dan tork setinggi 300Nm, manakala kuasa GLC 250 adalah 211hp serta 350Nm.
Penulis boleh katakan, prestasi jentera ini sudah cukup bagus. Apa yang bagus, ia tidak terlalu berat biarpun jentera ini nampak besar.
Jika mahu mengerah kudrat pada tahap maksimum, tukar saja kepada mod Sport sambil menukar gear dengan menggunakan padel di belakang stereng.

Setakat pandu lebih 170 kilometer sejam (km/j), kereta ini masih lagi selesa dan tidak rasa takut kerana masih lagi stabil.
Jika di selekoh, boleh katakan ia sangat baik ketika memulas stereng pada kelajuan tinggi. Tetapi anda harus ingat, jentera ini bukannya dibina untuk melayan selekoh secara agresif.
Sepanjang memandunya dalam tempoh beberapa hari, penulis cukup teruja adalah pemandangan yang sangat jelas dan tinggi sekali gus rasa selesa ketika memandunya.
Secara kesimpulannya, pakej jentera ini membabitkan harga, reka bentuk dan prestasi sudah cukup untuk anda sekiranya mahu memiliki SUV mewah.
Must-Watch Video